AGROBAZAAR RAKYAT

Projek AgroBazaar Rakyat(ABR)

PENGENALAN 

Matlamat pengwujudan projek AgroBazaar Rakyat adalah sebagai outlet runcit yang membeli dan menjual hasil-hasil pertanian secara terus dari sumber pengeluaran kepada pengguna di samping menjual barangan keperluan harian secara runcit pada harga yang berpatutan.

Projek ini merupakan salah satu usaha pihak Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) dalam mengurangkan lapisan orang tengah yang mengeksploitasi pasaran melalui pengawalan bekalan dan permintaan sehingga memberi kesan keatas harga jualan produk makanan.

Pelaksanaan projek AgroBazaar Rakyat adalah sejajar dengan usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan harian pengguna khususnya produk-produk makanan.


DEFINISI

AgroBazaar Rakyat adalah merupakan premis perniagaan sedia ada milik Jabatan/ Agensi/ Pertubuhan/ Persatuan dibawah naungan Agensi MOA/ ataupun usahawan  yang menjalankan perniagaan menjual  barangan segar dan barangan keperluan harian secara runcit dengan menawarkan harga berpatutan, menampilkan imej yang menarik, tersusun, kemas dan seragam diseluruh negara.


OBJEKTIF 

Objektif penubuhan AgroBazaar Rakyat adalah seperti berikut;

  • Outlet runcit alternatif kepada pengguna untuk mendapatkan produk agromakanan pada harga berpatutan terutamanya produk segar
  • Membantu mengurangkan kos sara hidup penduduk setempat bagi kos belian makanan berasaskan pertanian
  • Saluran alternatif pasaran produk agromakanan bagi membantu usahawan tani memasarkan secara terus hasilan pertanian bagi mendapat pulangan yang munasabah.


KONSEP

AgroBazaar Rakyat adalah outlet runcit yang menawarkan platform bagi perolehan dan penjualan produk terus dari sumber pengeluaran kepada pengguna bagi tujuan menjamin pulangan harga yang berpatutan serta munasabah terutamanya bagi produk segar pertanian. Secara amnya konsep AgroBazaar Rakyat adalah seperti berikut:-

  • Komoditi jualan Wajib terdiri daripada hasilan berasaskan pertanian dan Produk Industri Asas Tani serta lain-lain barangan keperluan harian pengguna
  • Menawarkan harga 5% hingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran setempat bagi sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, daging dan ikan.
  • Sumber bekalan barangan segar/produk sejuk beku berasaskan pertanian diperolehi terus dari petani, penternak, nelayan dan usahawan atau daripada  sumber  import.
  • Pelaksanaan projek adalah dengan menaiktaraf premis runcit sedia ada milik Jabatan/ Agensi/ Pertubuhan/ Persatuan dibawah Agensi MOA ataupun milik usahawan.


SYARAT - SYARAT PENYERTAAN

Syarat-syarat penyertaan di bawah projek AgroBazaar Rakyat adalah seperti berikut :-

  • Usahawan mestilah warganegara Malaysia berumur tidak kurang 20 tahun dan tidak melebihi 60 tahun semasa mengemukakan permohonan.
  • Mempunyai premis perniagaan sendiri atau disewa secara sah dengan baki sekurang-kurangnya 2 tahun tempoh sewaan. Salinan dokumen penyewaan premis wajib disertakan bersama borang permohonan.
  • Menjalankan aktiviti membeli dan menjual hasilan pertanian segar (sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam & daging) dan produk proses industri asas tani disamping mengusahakan perniagaan runcit.
  • Mempunyai lesen perniagaan yang sah di sisi undang-undang :-
    • Sijil Pendaftaran Syarikat - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
    • Lesen Perniagaan -  Pihak Berkuasa Tempatan
    • Lesen-lesen/permit yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa mengikut komoditi perniagaan yang berkaitan.
  • Wajib menerima barangan yang dibekalkan oleh Agensi dibawah MOA dan menjualnya pada harga yang telah ditetapkan.
  • Memiliki modal pusingan yang mencukupi dengan rekod jualan yang baik sekurang-kurangnya RM 30,000.00 pada setiap bulan.
  • Bekerjasama dengan Agensi pembimbing di bawah MOA dan bersedia mematuhi peraturan yang ditentukan 
  • Wajib mengikuti kursus Keusahawanan Peruncitan yang dianjurkan oleh pihak Agensi Pembimbing
  • Bersetuju proses penilaian aset dan modal premis dijalankan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal  yang dilantik.
  • Bersetuju mengubahsuai premis berdasarkan layout dan susun atur peragaan barangan jualan mengikut konsep AgroBazaar Rakyat.

 

INSENTIF PROJEK 

Bantuan Insentif yang ditawarkan di bawah projek AgroBazaar Rakyat adalah seperti berikut :-

  • Pemasangan papan tanda AgroBazaar Rakyat yang seragam:
    • Papan tanda perniagaan/signboard
    • Papan tanda waktu operasi
    • Papan tanda tunjuk arah/ signage
       
  • Mengecat semula premis di bahagian luar dan dalam premis perniagaan
  • Pembekalan peralatan rak-rak peragaan barangan seperti : 
    • Rak sayur-sayuran
    • Rak buah-buahan
    • Rak takungan stainlees steel (ayam, daging & ikan)
    • Rak gondola( Wall, Island & End)
    • Meja kaunter
    • Set lengkap tong ikan (lengkap dengan kerangka) 
    • Freezer
    • Chiller 
       
  • Point of sale / POS Sistem- ( ISO POS Sistem) atau setara 
  • Kerja-kerja naiktaraf premis untuk ruang jualan segar.( Hasil pertanian)
  • Pembekalan bahan-bahan promosi seperti bunting, banner, flagline, tanda harga.
  • Kursus Keusahawanan Peruncitan seperti kursus Asas Perniagaan, Kejurujualan, Kewangan, Peragaan, Pengurusan stor dan lain-lain yang berkaitan


CARA-CARA MEMOHON

Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan Agro Bazaar Rakyat dan mengemukakan permohonan kepada Pejabat FAMA Negeri atau Daerah yang berhampiran. Borang permohonan boleh diperolehi dari Pejabat FAMA Negeri atau Daerah atau dimuat turun dari lamam web FAMA di www.fama.gov.my