Pengenalan GPL

PENGENALAN PERATURAN 3P

Meningkatkan Daya Saing Keluaran Tempatan
Liberalisasi perdagangan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) akan menyebabkan hasil pertanian negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain. Untuk memastikan pengeluar-pengeluar mampu bersaing dalam membekalkan hasil-hasil pertanian ke rantaian bekalan perdana di pasaran antarabangsa, pemakaian Peraturan 3P yang menekankan faktor penggredan, pembungkusan dan pelabelan akan memudahkan akses pasaran ke negara pengimport oleh kerana standard yang dibangunkan mengikuti garis panduan FAO/CODEX dan mematuhi syarat-syarat perjanjian WTO.

Ketelusan Pasaran Melalui Pemakaian Standard Malaysia
Pelaksanaan Peraturan 3P menjamin kepada pemasaran yang berkonsepkan telus di mana petani yang mengamalkan aktiviti menggred berpandukan Standard Malaysia (MS) berhak untuk mendapatkan harga yang bersesuaian dengan gred yang dikeluarkan. Peraih atau pemborong tidak sewenangnya meletakkan harga tanpa merujuk kepada Standard Malaysia (MS) dan ini menjamin pengeluar tidak ditindas oleh kerana MS menjadi kayu pengukur di dalam penentuan kualiti hasil pertanian.

Meningkatkan Pendapatan Petani Melalui Pengurangan Kerosakan Lepas Tuai
Aspek pembungkusan juga penting di dalam menentukan kualiti hasil-hasil pertanian. Menurut Norsida et al. (2008), kajian mendapati bahawa 70 peratus peruncit/pemborong menerima hasil sayur-sayuran dan buah-buahan dengan 11 hingga 20 peratus kerosakan yang berpunca daripada penggunaan pembungkusan yang kurang sesuai. Risiko kerosakan lepas tuai yang agak tinggi ini menyebabkan penawaran harga yang kurang baik dan tingginya pelupusan hasil yang rosak kepada petani. Oleh itu, Peraturan 3P menetapkan setiap hasil pertanian perlu dibungkus mengikut kesesuaian dan memberi perlindungan maksimum daripada apa-apa kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan. Ini akan meningkatkan pendapatan petani dengan penjimatan atas kerugian kerosakan lepas tuai yang tinggi.

Memperkukuhkan Pasaran Eksport Sedia Ada
Singapura dan Brunei merupakan pasaran tradisional hasil-hasil pertanian Malaysia. Agri Food & Veterinary Authority (AVA) Singapura dan Jabatan Pertanian Brunei telahpun menguatkuasakan pelabelan dan pembungkusan keluaran pertanian Malaysia yang dieksport ke negara berkenaan. Di samping itu, negara-negara tersebut mempunyai sistem pemeriksaan sisa baki racun (MRL) yang ketat.

Melalui Peraturan 3P, eksport buah-buahan dan sayur-sayuran tidak akan terjejas setelah petani-petani mengamalkan Amalan Pertanian Baik dan seterusnya mematuhi standard dan piawaian yang ditetapkan oleh negara pengimport. Melalui pemakaian label di setiap kotak pembungkusan, petani/pengeluar yang menghasilkan keluaran pertanian dengan kandungan sisa baki racun yang tinggi dapat dikenalpasti melalui sampel yang diuji di makmal. Sekiranya hasil-hasil pertanian yang dieksport tidak mematuhi peraturan 3P, maka sudah tentu pengimport akan beralih kepada negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Mencegah Aktiviti Lambakan
Pada tahun 2009, Malaysia mengimport buah-buahan bernilai RM1.24 billion dan sayur-sayuran bernilai RM2.27 billion. Di bawah perjanjian WTO, mana-mana negara tidak lagi boleh menyekat perdagangan bebas, namun Peraturan 3P boleh mensyaratkan hanya hasil-hasil pertanian yang berkualiti mengikuti Standard Malaysia (MS) atau CODEX dibenarkan untuk diimport.

Sebagai contoh, pengusaha-pengusaha tempatan yang mengusahakan ladang mangga mendapati bahawa mereka tidak dapat bersaing dengan mangga yang diimport daripada negara jiran. Ini adalah disebabkan mangga yang diimport dijual dengan harga yang jauh lebih murah di pasaran. Perkara ini berlaku oleh kerana produk yang diimport adalah di luar gred MS dan sikap pengguna di Malaysia mengutamakan harga daripada kualiti yang dijual.

Maklumat Pengeluar dan Produk
Treacebility atau mengesan asal usul keluaran adalah tren yang kian meningkat dalam penjualan makanan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan makanan. Demikian jugalah dengan syarat pelabelan yang ditetapkan di bawah Peraturan 3P di mana ianya adalah memenuhi keperluan kebolehkesanan sesuatu produk khususnya dalam kawalan sisa baki racun (MRL) bagi tujuan keselamatan. Penetapan syarat ini adalah melengkapi syarat dan peraturan pelabelan di dalan Peraturan Makanan 1985, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penggunaan label pada bungkusan hasil-hasil pertanian adalah penting kerana ia memberi maklumat mengenai pengeluar, jenis komoditi, gred dan saiz produk yang ingin dijual. Maklumat ini penting kepada pembeli dan penjual untuk menentukan terma urus niaga berdasarkan gred dan saiz yang dinyatakan. Sebagai contoh, isu kandungan bakteria E-coli dalam sayur timun di Eropah baru-baru ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya sesuatu label pada setiap hasil keluaran pertanian. Sekiranya tiada label yang memberi maklumat berkenaan negara asal timun berkenaan, sudah pasti pihak berkuasa tidak dapat mengesan daripada mana datangnya bakteria berkenaan dan dalam masa yang sama, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya kepada negara pengeluar yang terlibat.

Pages: 1  2  3