Jualan Agro MADANI (JAM)
Jualan Agro MADANI (JAM)
![]() |
PENGENALAN
Program Jualan Agro Madani telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 16 April 2023. Program ini merupakan penjenamaan semula program sedia ada iaitu Jualan Terus Dari Ladang (JTDL). Pelaksanaan program JAM ini diselia oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama agensi di bawah KPKM iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Fokus program JAM adalah untuk menjamin ketersediaan bekalan agromakanan dan memberi pilihan kepada pengguna mendapatkan bekalan agromakanan pada harga yang berpatutan. Melalui program ini, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan antaranya sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, telur, ikan dan daging. Program JAM ini turut menawarkan penjimatan harga 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.
Mengambil kira jurang kadar inflasi di kawasan bandar, pelaksanaan program JAM ditumpukan di kawasan bandar dan pinggir bandar yang berkepadatan tinggi dengan penduduk B40 dan M40. Selain itu, program JAM juga telah diperluaskan pelaksanaannya ke lokasi tertentu seperti kompleks atau premis kerajaan, outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta kawasan perumahan.
OBJEKTIF
- Membantu mengurangkan kos sara hidup yang tinggi pada masyarakat dengan menyediakan barangan keperluan dengan harga munasabah.
- Sebagai platform kepada petani, penternak dan pengusaha memasarkan produk mereka secara lebih efektif dalam meningkatkan nilai jualan dan pendapatan.
- Memperluas pasaran produk agromakanan tempatan termasuk untuk produk-produk pertanian premium dan organik serta menyokong pengeluaran produk yang mesra alam dan menggunakan kaedah pertanian lestari.
- Meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pengguna untuk memilih dan membeli produk agromakanan tempatan dan sekaligus menyokong ekonomi domestik.
- Mempromosikan dan meningkatkan jualan produk keluaran usahawan melalui plaform Portal Agrobazaar Online.
- Menjayakan agenda dan sasaran kerajaan dalam pelaksanaan Jualan Agro MADANI.
- Menjadikan satu platform perkhidmatan jabatan dan agensi kepada rakyat.
KONSEP
Jualan Agro Madani (JAM) merupakan platform jualan produk makanan asas utama seperti sayur-sayuran, ayam, ikan dan daging yang dijual dengan harga berpatutan dan memfokuskan kepada golongan B40 khususnya. Melalui program ini, setiap pengguna akan menikmati penawaran penjimatan 10% hingga 30% lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Lokasi bagi program JAM akan dijalankan di beberapa tempat seperti berikut ;
- Kompleks kerajaan / agensi
- Outlet peruncitan agensi
- Institusi kerajaan / NGO / swasta
- Lokasi terpilih (PPR / Kawasan perumahan berkepadatan tinggi di pinggiran bandar atau luar bandar)
Usahawan yang terlibat bagi program ini adalah merupakan peserta ladang kontrak KPKM, usahawan bimbingan agensi / jabatan dan pengilang dan pemproses produk agromakanan. Antara komoditi jualan yang terlibat ialah :
- Sayur
- Buah
- Ayam
- Ikan
- Daging
- Barangan runcit
- Barang kawalan
- Pelbagai makanan asas terpilih
Waktu operasi bagi setiap program adalah seperti berikut ; 8.00 pagi hingga 1.00 petang atau 3.00 petang hingga 7.00 malam bagi penganjuran di lokasi terpilih, outlet peruncitan FAMA dan institusi / kompleks kerajaan. Namun waktu operasi bagi program boleh berubah mengikut kesesuaian dan ketetapan program yang telah dirancang.
