Gambar

8 Oktober 2025 | Majlis Penyerahan Laporan Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Program Jualan Agro Madani (JAM) Tahun 2024 | Dewan Bunga Raya, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang
Majlis Penyerahan Laporan Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Program Jualan Agro Madani (JAM) Tahun 2024 telah diadakan di Dewan Bunga Raya, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang.
Majlis ini disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli, Pengerusi FAMA yang turut menyampaikan ucapan serta menyempurnakan simbolik penyerahan laporan kajian.
Turut hadir YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA, YBhg. Prof. Ir. Dr. Azman bin Senin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta YBhg. Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan, Timbalan Presiden, International, Industrial & Institutional Partnership (IIIP), UniKL bersama pegawai-pegawai kanan FAMA.
Dalam majlis ini, YBhg. Prof. Ir. Dr. Azman bin Senin turut menyampaikan ucapan berkaitan dapatan kajian, diikuti dengan tayangan video montaj dan sesi penerangan ringkas hasil kajian oleh pasukan penyelidik Universiti Kuala Lumpur.
Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa pelaksanaan Program Jualan Agro Madani memberi impak positif kepada rakyat dan usahawan. Sebanyak 94 peratus pengguna menyatakan kepuasan terhadap harga yang ditawarkan, manakala 87 peratus usahawan menikmati peningkatan jualan dan pendapatan hasil penyertaan dalam program ini.
Sejak dilaksanakan, program ini telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 26.9 juta isi rumah dengan jumlah penjimatan rakyat mencecah RM71.44 juta.
Program Jualan Agro Madani terbukti berkesan sebagai instrumen kawalan harga dan platform pengukuhan keterjaminan makanan negara. FAMA akan terus memperkukuh pelaksanaannya melalui penambahbaikan berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian ekonomi agromakanan negara sentiasa terpelihara.