Gambar

7 Julai 2026 | Pengukuhan Kerjasama Strategik FAMA – Maybank Investment Bank Berhad Melalui Sesi Libat Urus | Bilik Mesyuarat Bunga Tanjung, Tingkat 4, Ibu Pejabat FAMA

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan Sesi Libat Urus bersama Maybank Investment Bank Berhad sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara FAMA dan institusi kewangan dalam meneroka peluang kerjasama yang mampu menyokong pembangunan sektor agromakanan negara secara lebih mampan dan berdaya saing.

Sesi libat urus ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Aiada binti Abdul Rashid, Pengarah Kanan Bahagian Dasar & Perancangan Strategik FAMA, manakala delegasi Maybank Investment Bank Berhad diketuai oleh Puan Nur Shereen Bahawi, Director, New Economy & Group Global Banking Sustainability.

Turut hadir ialah wakil-wakil daripada Bahagian Kewangan, Bahagian Pasaran Produk Proses, Bahagian Institusi Pasaran, Bahagian Padanan Bekalan, serta Bahagian Risikan & Pemodenan Pasaran.

Sesi libat urus ini menjadi platform bagi FAMA berkongsi peranan strategiknya dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan negara, memperluaskan akses pasaran hasil agromakanan, meningkatkan daya saing sektor agromakanan serta menyokong agenda keterjaminan makanan (sekuriti makanan) negara.

Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama strategik antara FAMA dan Maybank Investment Bank Berhad dalam penyediaan penyelesaian kewangan yang holistik, bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan agromakanan yang diterajui oleh FAMA. Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh ekosistem agromakanan negara, memperkasakan usahawan serta membuka lebih banyak peluang pembangunan dan pelaburan pada masa hadapan.

Penganjuran sesi libat urus ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama institusi kewangan dan rakan industri ke arah pembangunan sektor agromakanan yang lebih inovatif, mampan dan berimpak tinggi.