7 Disember 2025 | Majlis Perasmian Karnival Industri Makanan Dan Asas Tani (IMAT) 2025 @ Selangor
Gambar
Karnival Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) 2025 @ Selangor anjuran FAMA di bawah KPKM telah berlangsung dengan meriah sebagai platform memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan serta mengangkat industri asas tani ke tahap lebih berdaya saing.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM. Turut hadir YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA serta barisan kepimpinan KPKM dan pegawai kerajaan negeri.
IMAT 2025 Platform Strategik Usahawan Tempatan Penganjuran ini merupakan kesinambungan usaha FAMA mendukung Dasar Agromakanan Negara ke arah pertanian moden, mampan dan kompetitif. Bagi tahun 2025, IMAT dilaksanakan di 15 Parlimen, 8 negeri, 2 lokasi Jom Heboh dan 2 lokasi khas, menjadikannya antara program terbesar memacu akses pasaran usahawan tempatan.
Karnival IMAT @ Selangor dijangka menerima 25,000 pengunjung dan memberi manfaat langsung kepada 130 usahawan tempatan, dengan sasaran nilai jualan RM500,000. Selain mempromosikan produk industri asas tani sebagai bidang keusahawanan berpotensi tinggi, program ini turut membuka peluang kepada generasi muda untuk meneroka sektor pemprosesan makanan dan teknologi berkaitan.
Pelbagai pengisian menarik turut disediakan, antaranya jualan produk industri asas tani (400 SKU), makanan popular dan viral (100 SKU), People Market (70 SKU), florikultur (80 SKU) serta buah-buahan tempatan (20 jenis). Turut ditawarkan ialah jualan Ehsan Rahmah (55 SKU), jualan ANGKASA (50 SKU) serta Kombo IMAT dan Kombo Madani pada harga istimewa RM10, masing-masing berjumlah 300 unit dan 3,000 unit.
Program ini dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna melalui penawaran produk tempatan berkualiti pada harga berpatutan, di samping meningkatkan pendapatan dan jaringan pemasaran usahawan, petani, penternak, peruncit, pemborong dan pengeksport.
FAMA terus komited memperkukuh hubungan strategik bersama KPKM, kerajaan negeri, agensi, NGO dan sektor swasta demi memajukan industri makanan dan asas tani negara secara lebih holistik, moden dan mampan.