5 Mac 2026 | Program Ihya’ Ramadan YAB Perdana Menteri Bersama Warga KPKM | Wisma Tani, Putrajaya
Gambar
Program Ihya’ Ramadan YAB Perdana Menteri Bersama Warga KPKM telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Wisma Tani, Putrajaya, dengan kehadiran Anwar Ibrahim yang bersama-sama warga kementerian mengimarahkan bulan Ramadan melalui pengisian rohani dan perbincangan hala tuju sektor agromakanan negara.
Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini menjadi platform memperkukuh nilai kerohanian serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan keseimbangan pembangunan fizikal dan rohani.
Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian bersama kepimpinan tertinggi kementerian yang menyentuh pelbagai agenda penting termasuk pembangunan sektor agromakanan negara, pelaksanaan Jualan Agro MADANI serta penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show 2026 yang bakal menjadi platform utama memperkukuh ekosistem agromakanan negara.
Turut berlangsung sesi tazkirah Ramadan bertajuk “Ramadan Bulan Kesyukuran” yang disampaikan oleh S.S. Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan yang menekankan kepentingan meningkatkan rasa syukur kepada Allah SWT serta memperkukuh amalan kerohanian sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Program turut dihadiri YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin , Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar serta YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha KPKM bersama pegawai kanan kementerian dan agensi.
Turut hadir mewakili Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ialah Ketua Pengarah FAMA, Yang Berusaha Encik Abdul Rashid Bahri, sebagai tanda komitmen berterusan FAMA dalam menyokong agenda pembangunan sektor agromakanan negara serta memperkukuh kerjasama strategik dalam ekosistem keterjaminan makanan.
Program diakhiri dengan solat Zohor secara berjemaah bersama YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan warga kementerian, yang mencerminkan semangat ukhuwah, perpaduan serta penghayatan nilai Ramadan dalam persekitaran kerja.