Gambar

4 Disember 2025 | Program Pelepasan Produk Agromakanan Ke Pasaran Filipina | Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang
Malaysia terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan sebagai pengeksport utama produk Halal di rantau ASEAN melalui penganjuran Program Pelepasan Produk Agromakanan ke Pasaran Filipina oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA.
Majlis ini disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli, Pengerusi FAMA, bersama kehadiran YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA. Turut hadir Encik Shahrulnizam bin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn. Bhd, Encik Khaliddin Ibrahim dan YBhg. Datuk Dr. Mohd Haniff bin Hassan dari KPKM serta delegasi rasmi Filipina yang diketuai oleh Mr. Flor L. Olivar, Philippine Coconut Authority dan Mr. Camilo Cadiz, Presiden Golden Merchantile International Trading Corporation.
Inisiatif ini melibatkan penghantaran 20 kontena secara berfasa ke Manila dan Marawi sehingga penghujung 2026, merangkumi 8 SKU produk Agromas dengan nilai eksport keseluruhan RM4.15 juta. Penghantaran pertama terdiri daripada 2 kontena bernilai RM338,408, dengan FAMA Corporation Sdn. Bhd. sebagai pengeksport utama.
Filipina kini muncul sebagai pasaran Halal yang pesat berkembang, menawarkan peluang besar kepada produk Malaysia seperti kopi, mee segera dan makanan Halal berkualiti tinggi untuk menembusi pasaran premium bernilai besar.
Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara FAMA Corporation Sdn. Bhd dan lima syarikat tempatan, meliputi pengembangan rantaian bekalan makanan, pengedaran produk FMCG, pembekalan minyak masak, industri ruminan serta pembangunan platform digital logistik pintar.
Usaha ini membentuk landasan penting dalam memperkukuh ekosistem eksport Halal Malaysia, membuka pasaran baharu kepada pengeluar tempatan serta memacu pertumbuhan dagangan dua hala Malaysia-Filipina.