Gambar

4 April 2026 | Majlis Pelancaran Program Kerjasama Strategik FAMA X VEG – HUB KL Edition 8.0 | Paradigm Mall (UG), Petaling Jaya

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperluas jaringan kerjasama strategik melalui penganjuran Majlis Pelancaran Program Kerjasama Strategik FAMA bersama Veg-Hub KL Edition 8.0 yang berlangsung dengan jayanya pada 4 April 2026.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Zuriana binti Mat Adam, Pengarah Kanan Bahagian Padanan Bekalan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Turut hadir YBrs. Puan Gulshan Kaur Rai, Co-Founder & Director Veg Hub serta barisan pegawai FAMA, jemputan dan rakan strategik industri.

Atur cara majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu jemputan diikuti nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa serta ucapan alu-aluan. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian dan gimik pelancaran yang melibatkan simbolik tekan butang pada skrin LED serta tayangan video montaj.

Program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian khas oleh Dr. Susianto daripada World Vegan Organization, seorang pakar pemakanan berasaskan tumbuhan yang aktif di peringkat antarabangsa. Perkongsian beliau memberi penekanan kepada kepentingan amalan pemakanan sihat, potensi industri makanan berasaskan tumbuhan serta peluang pasaran global yang semakin berkembang.

Selain itu, Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan turut dilaksanakan sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di samping menyokong produk tempatan. Majlis diakhiri dengan sesi lawatan ke booth jualan yang menampilkan pelbagai produk agromakanan dan inovasi usahawan tempatan.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkukuh rantaian pemasaran hasil agromakanan serta memperluas peluang kerjasama strategik ke arah pembangunan industri makanan yang lebih mampan, sihat dan berdaya saing.