Gambar

30 Mei 2025 | PERASMIAN PROGRAM FAMA FEST 2025 @ JOHOR | DATARAN PENGGARAM, BATU PAHAT
Majlis perasmian FAMA Fest 2025 @ Johor telah berlangsung dengan meriah pada 30 Mei 2025 di Dataran Penggaram, Batu Pahat. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Faidz Afizi bin Mohamed, Pengarah FAMA Negeri Johor, wakil-wakil agensi negeri dan persekutuan, ketua-ketua jabatan serta lebih 100 orang usahawan dari seluruh negara.
FAMA Fest 2025 @ Johor memberi manfaat langsung kepada 38 orang usahawan daripada pelbagai sektor seperti Industri Makanan Asas Tani (IMAT), komoditi segar, florikultur serta makanan warisan. Sepanjang tempoh festival ini, lebih daripada 300 SKU produk tempatan dipamer dan dipasarkan, menjadikan platform ini sebagai medan promosi yang berimpak tinggi kepada para usahawan.
Antara tarikan utama ialah segmen “Empayar Makanan” yang menawarkan pelbagai sajian menarik termasuk makanan viral, makanan warisan Melayu dan pilihan street food yang menjadi kegemaran ramai.
Program turut memperkenalkan inisiatif Business Matching bersama ejen pemasaran dari China dan Indonesia yang diadakan pada 31 Mei 2025, bagi membantu para usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa serta memperluaskan jaringan pengedaran ke pasar raya besar dan pengedar domestik.
Kemuncak FAMA Fest 2025 @ Johor turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pentas dan komuniti seperti Pertandingan Zapin dan Kompang, Pertandingan Ukiran Buah, Pertandingan Kopi Tarik, Persembahan artis tempatan, Himpunan Kelab Permotoran, Majestic International Music Festival.
FAMA Fest 2025 @ Johor bukan sahaja menjadi medan promosi produk agromakanan tempatan, malah turut meraikan warisan budaya dan semangat komuniti rakyat Malaysia.