Gambar

3 Oktober 2026 | Majlis Walkabout Jualan Agro Madani Mega @ Rompin | Rompin , Pahang

ROMPIN, 3 Oktober 2026 – Jualan Agro MADANI Mega @ Rompin terus meriah dengan berlangsungnya Majlis Walkabout Jualan Agro MADANI Mega @ Rompin yang dihadiri oleh Ketua Pengarah FAMA, En. Faisal Iswardi bin Ismail.

Turut hadir Pegawai Daerah Rompin, Encik Muhammad Hatta bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan Industri Agromakanan), Puan Suraya binti Mohd Yusof, serta pegawai-pegawai kanan FAMA Ibu Pejabat dan FAMA Negeri Pahang.

Majlis walkabout ini memberi peluang kepada barisan pengurusan FAMA untuk meninjau perjalanan program, melihat penglibatan para usahawan serta berinteraksi secara langsung bersama pengunjung dan peserta yang terlibat.

Antara pengisian utama sepanjang walkabout ialah Jualan Happy Hour Kombo MADANI, Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan serta Jualan Happy Hour Daging oleh Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA).

Turut diadakan agihan anak pokok percuma kepada pengunjung sebagai salah satu pengisian yang memberi manfaat kepada komuniti, selain Cabutan Bertuah Utama yang memeriahkan lagi suasana program.

Jualan Agro MADANI Mega @ Rompin berlangsung selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 Oktober 2026, dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Pantai Hiburan Rompin, Pahang.

Pelbagai jualan dan aktiviti menarik disediakan sepanjang program. Jom hadir dan meriahkan hari terakhir Jualan Agro MADANI Mega @ Rompin!