Gambar

3 FEBRUARI 2023 | SHAH ALAM, SELANGOR | FOKUS MAFS: TARIK MINAT BELIA DALAM SEKTOR PERTANIAN

Jelajah Agrotourism dan Agroyouth, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Siri Ke-2 dianjurkan bermula 3 hingga 5 Februari 2023 di Perkarangan Parkir SACC Mall Shah Alam, Selangor. Program turun padang ini merupakan kesinambungan dari kejayaan siri pertama pada 2 hingga 4 Disember 2022 di Pasir Gudang, Johor.

Jelajah ini melibatkan pameran daripada pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan yang berkongsi maklumat berkaitan inisiatif dan bantuan yang ditawarkan oleh MAFS terutamanya kepada golongan petani, penternak, nelayan mahupun usahawan dalam bidang agromakanan. Pengunjung berpeluang mengemukakan sebarang pandangan atau pertanyaan kepada pegawai-pegawai MAFS secara bersemuka bagi membolehkan penilaian dan tindakan lanjut dapat diselaraskan.

Pelbagai program disusun sepanjang jelajah ini antaranya penawaran pakej-pakej pelancongan berasaskan pertanian, pemadanan perniagaan, jualan, kursus keusahawanan dan perkongsian kisah kejayaan. Turut diadakan jualan pasar pilihan rakyat iaitu My Best Buy (MBB) yang merupakan inisiatif Kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Untuk rekod, sehingga 2022, sebanyak 146 Pusat Agropelancongan yang berdaftar di bawah bimbingan Jabatan dan Agensi MAFS telah diberikan bantuan Geran Agropelancongan dengan nilai RM22.13 juta. Manakala statistik kunjungan pelawat ke pusat-pusat agropelancongan daripada tahun 2019 hingga 2021 ialah seramai 4.4 juta orang dengan hasil pendapatan berjumlah RM81.4 juta. Bagi bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) untuk individu berumur 18 hingga 40 tahun, seramai 8,403 orang agropreneur muda di seluruh negara telah mendapat manfaat dari 2016 hingga 2022 dengan nilai kelulusan berjumlah RM151.75 juta.

MAFS yakin dengan penglibatan semua pihak dari pelbagai agensi Kerajaan, warga tani, pemain industri, NGO, ahli akademik dan masyarakat umum, maka matlamat ke arah Malaysia Madani akan dapat direalisaasikan.