29 April 2025 | Kunjungan Hormat Ketua Pengarah FAMA Ke Atas TYT Negeri Melaka
Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke atas Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, bertempat di Pejabat TYT, Ayer Keroh. Kunjungan ini menjadi platform penting bagi membincangkan pelbagai usaha strategik dalam memperkukuh peranan FAMA di negeri Melaka, khususnya dalam memperluas pasaran produk agro tempatan serta menjalin kerjasama erat bersama pihak kerajaan negeri dan komuniti setempat. Antara agenda utama yang diketengahkan dalam pertemuan ini termasuklah peluang menjalin kerjasama strategik antara FAMA dan pertubuhan bukan kerajaan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), dalam usaha memperkasakan jaringan pemasaran hasil tani dan memperkukuh penglibatan komuniti Melayu Islam dalam aktiviti ekonomi pertanian. Turut dibincangkan ialah pengembangan jenama kopi tempatan KOPIESATU di negeri Melaka sebagai satu jenama yang berdaya maju. Inisiatif ini bukan sahaja memfokuskan kepada promosi produk, malah merangkumi usaha melatih barista baharu terutamanya di lokasi-lokasi tumpuan pelancong bagi memastikan jenama ini dikenali dan mendapat tempat di hati pengguna. Selain itu, FAMA juga menekankan usaha untuk memberi bimbingan dari segi peruncitan kepada golongan sasar yang berkelayakan, dengan matlamat melahirkan usahawan tempatan yang berpengetahuan, cekap dan mampu bersaing dalam pasaran terbuka. Dalam masa yang sama, FAMA turut memperluaskan pasaran produk keluarannya di bawah jenama AGROMAS menerusi kerjasama dengan koperasi masjid di seluruh negeri Melaka, selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui jaringan pengedaran yang lebih meluas dan mudah diakses. FAMA terus komited untuk menjadikan negeri Melaka sebagai hab pengedaran hasil tani yang progresif dan mampan, demi menyokong agenda pemerkasaan ekonomi rakyat dan kelestarian sektor agromakanan negara.
Last Update:
Aplikasi Jumlah Pelawat ini hanya dipaparkan untuk Pengurus Laman bagi tujuan mengubah configurasi.