27 Julai 2026 | Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA @MAHA 2026 | Pekarangan Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor
Gambar
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menganjurkan Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA@MAHA2026 sebagai platform menghangatkan bahang penganjuran Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026, selain memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai produk agromakanan berkualiti pada harga penjimatan.
Program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Suzilawaty binti Shuib, Ahli Lembaga Pengarah FAMA bersama YBrs. Encik Shahrizan bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA; serta barisan pengarah dan pegawai kanan FAMA.
Majlis dimulakan dengan persembahan Instrument Drumline, diikuti bacaan doa, gimik perasmian, sesi walkabout ke gerai-gerai jualan, pelancaran Happy Hour Kombo MADANI serta sidang media yang mengetengahkan pengisian dan tarikan utama FAMA sempena MAHA 2026.
Program bertemakan FAMA@MAHA2026 ini menghimpunkan 35 usahawan melibatkan 45 lot jualan yang menawarkan pelbagai hasil pertanian segar, produk makanan, florikultur serta produk hiliran tempatan. Penganjuran ini turut memberi gambaran awal kepada pengunjung mengenai antara tarikan utama yang bakal diketengahkan FAMA sepanjang MAHA 2026.
Sepanjang program, pengunjung menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk Kombo MADANI serendah RM10, Happy Hour RM5, ayam segar RM10 seekor, daging segar RM25 sekilogram, promosi buah-buahan bermusim, produk Agromas, Kopiesatu serta edaran sayur-sayuran percuma. Inisiatif ini membolehkan pengguna menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, selaras dengan usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Program ini turut menjadi medium promosi kepada empat segmen utama FAMA di MAHA 2026, iaitu Kingdom of Agrofood (KOA), Food Empire, Food Truck Fiesta 2026 dan Agribusiness, yang bakal menampilkan keunikan hasil agromakanan tempatan, gastronomi Malaysia serta membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada usahawan.
Penganjuran Program Jualan Agro MADANI (JAM) Edisi FAMA@MAHA2026 membuktikan komitmen berterusan FAMA dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara, memperkasa usahawan agromakanan, memperluaskan akses pasaran serta membawa pengalaman terbaik kepada pengunjung menjelang penganjuran MAHA 2026.