27 April 2026 | Sesi Penyerahan Laporan Keberkesanan Projek Pembangunan RMK-12 FAMA 2025 | Bilik Mesyuarat Bunga Tanjung, Tingkat 4, Ibu Pejabat FAMA
Gambar
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan Sesi Penyerahan Laporan Keberkesanan Projek Pembangunan RMK-12 FAMA Tahun 2025 bagi Komponen Pasaran Industri Asas Tani (IAT) serta Komponen Peruncitan dan Keusahawanan.
Laporan tersebut telah diserahkan oleh pasukan penyelidik daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada pegawai-pegawai FAMA daripada bahagian terlibat dan disaksikan oleh YBrs. Puan Suraya binti Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) FAMA.
Sesi ini diadakan sebagai platform memperakukan penyerahan rasmi laporan akhir yang merangkumi dapatan penilaian keberkesanan projek, termasuk analisis isu dan cabaran serta cadangan penambahbaikan dan hala tuju strategik bagi pelaksanaan projek pada masa hadapan.
Penilaian yang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan ini melibatkan pelbagai inisiatif di bawah komponen IAT serta Peruncitan dan Keusahawanan, yang memberi fokus kepada pengukuhan pasaran, pembangunan usahawan serta peningkatan kecekapan rantaian pemasaran agromakanan.
FAMA merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya pasukan UiTM melalui kerjasama strategik bersama UiTM Technoventure, atas komitmen dalam menjayakan kajian ini. Diharapkan hasil dapatan laporan ini dapat dimanfaatkan sebagai rujukan penting dalam memperkukuh perancangan dan pelaksanaan program pembangunan agromakanan negara secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.