Gambar

26 Januari 2026 | Isnin | Majlis Perhimpunan Bulanna FAMA dan Amanat Tahun Baharu 2026 | Dewan Bunga Raya, Bangunan FAMA Point
Majlis Perhimpunan Bulanan FAMA dan Amanat Tahun Baharu 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 26 Januari 2026 bertempat di Dewan Bunga Raya, Bangunan FAMA Point, Ibu Pejabat FAMA. Majlis ini menghimpunkan warga kerja FAMA yang hadir secara fizikal di Dewan Bunga Raya serta disertai secara hibrid menerusi platform dalam talian oleh warga FAMA dari seluruh negara.
Majlis dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu bertajuk “Tahun Baharu, Semangat Baharu” sebelum diteruskan dengan ketibaan Ketua Pengarah FAMA, YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri dan Pengerusi FAMA, YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli. Majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Panji FAMA, lafaz Ikrar Rukun Negara, bacaan doa serta tayangan video sorotan kejayaan FAMA 2025 dan hala tuju FAMA 2026.
Dalam amanat yang disampaikan, Ketua Pengarah dan Pengerusi FAMA menekankan perancangan strategik FAMA menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Rancangan Pertama (RP1) sebagai asas hala tuju organisasi. Amanat tersebut turut menyentuh persediaan dan penglibatan aktif FAMA dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 sebagai platform utama mempromosikan produk tempatan dan usahawan agromakanan. Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap kepentingan pematuhan kepada peraturan-peraturan serta pengukuhan kerjasama dan semangat kerja berpasukan dalam memastikan setiap inisiatif FAMA dapat dilaksanakan secara berkesan dan berintegriti.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Sijil Penghargaan SPAN 2.0 Perkhidmatan Awam Tahun 2025, penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen 1 Staf 1 Agromas serta gimik pelancaran Tabung Treasure Ramadan 1447H/2026M.