25 Jun 2026 | Sorotan Kursus Pemerkasaan Eksport Agromakanan & Keusahawaan Global Siri 3 : Globex UAE | Johor Bahru, Johor
Gambar
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi Bahagian Pasaran Antarabangsa telah menganjurkan Kursus Pemerkasaan Eksport Agromakanan & Keusahawanan Global Siri 3: GLOBEX UAE sebagai platform strategik bagi memperkukuh kapasiti usahawan agromakanan tempatan dalam meneroka peluang eksport dan menembusi pasaran antarabangsa, khususnya Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Program yang disertai seramai 80 usahawan agromakanan dari seluruh negeri ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Maybank Islamic Berhad dan Johor Halal Development Corporation Berhad (JHDC).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Adnan bin Sharif, Ketua Bahagian Halal Ekonomi, Maybank Islamic Berhad; YBrs. Tuan Md Rozamusliadi bin Haji Roslan, Pengerusi Johor Halal Development Corporation Berhad (JHDC); YBrs. Encik Noorsham bin Ramly, Pengarah Kanan Bahagian Pasaran Antarabangsa FAMA; YBrs. Encik Hairuddin bin Yunos, Pengarah Bahagian Keusahawanan Pemasar FAMA; serta YBrs. Encik Faidz Afizi bin Mohamed, Pengarah FAMA Negeri Johor.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting berkaitan potensi pasaran UAE, keperluan pematuhan standard antarabangsa, pensijilan halal, akses pembiayaan serta strategi pengembangan perniagaan bagi meningkatkan daya saing produk agromakanan Malaysia di pasaran global.
Penganjuran GLOBEX UAE membuktikan komitmen berterusan FAMA dalam memperkasakan usahawan agromakanan tempatan melalui pembangunan kapasiti, pengukuhan jaringan strategik serta peluasan akses ke pasaran antarabangsa, selaras dengan usaha meningkatkan daya saing produk Malaysia di peringkat global.