Gambar

25 April 2026 | Program Walkabout Ketua Pengarah FAMA dan Majlis Penyertaan Peralatan Pusat Pengumpulan Ladang (RPKP Ternakan ) 2026 | Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan Program Walkabout Ketua Pengarah FAMA serta Majlis Penyerahan Peralatan Pusat Pengumpulan Ladang (RPKP Ternakan) di Kampung Jaya Gading, Kuantan sebagai usaha memperkukuh rantaian pemasaran hasil ternakan tempatan.

Program ini melibatkan peserta Rakan Pemasar Khidmat Pemasaran (RPKP Ternakan), iaitu Sani Niaga yang diusahakan oleh Encik Mohd Shazrulaiman bin Mohd Sani, seorang usahawan muda dalam bidang ternakan lembu dan kerbau. Projek ini mempunyai kapasiti sekitar 70 ekor lembu dan 30 ekor kerbau, dengan pengeluaran dianggarkan sehingga 30 ekor sebulan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Hasil ternakan ini dipasarkan melalui pelbagai saluran termasuk Pasar Tani, restoran, koperasi, anak syarikat kerajaan negeri serta pemborong dan peruncit sekitar Pahang, sekali gus menyokong kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.

Dalam program ini, FAMA turut menyampaikan bantuan peralatan bagi meningkatkan kecekapan operasi pusat pengumpulan ladang, meliputi timbangan digital, rak gantung daging, meja keluli tahan karat serta papan tanda penunjuk arah.

Turut sama hadir Puan Rashiha binti Mamat, Pengarah FAMA Negeri Pahang, YBrs. Cik Zuriana binti Mat Adam, Pengarah Kanan Padanan Bekalan FAMA serta Puan Habibah binti Sulaiman, Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia bersama pegawai FAMA Negeri dan Ibu Pejabat.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkasa usahawan agromakanan, khususnya dalam subsektor ternakan, di samping memperkukuh sistem pemasaran yang lebih cekap, berdaya saing dan mampan