Gambar

24 Jun 2025 | Selasa | Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara FAMA dan LUXAMANASDN. BHD. | Kuala Lumpur
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Luxamana Sdn. Bhd. bagi memperkukuh sistem logistik agromakanan negara, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan penghantaran produk segar dan basah secara lebih cekap dan menyeluruh.
Majlis menandatangani MoU ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Shahrizan bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA.
Kerjasama strategik ini menyasarkan pembangunan dan pengukuhan rangkaian logistik pintar melalui penyediaan perkhidmatan Cold Chain Logistics (CCL) berteknologi tinggi. Langkah ini selari dengan inisiatif FAMA untuk memperkasa saluran pemasaran digital seperti Agrobazaar Online dan AgroXpress, sekali gus meningkatkan kecekapan penghantaran produk pertanian terus kepada pengguna.
Bagi pihak FAMA, MoU telah ditandatangani oleh Encik Ramli bin Mat Sani, Pengarah Bahagian Pemasaran Segar & Intervensi dan disaksikan oleh Puan Aiada binti Abdul Rashid, Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Segar & Intervensi. Manakala bagi pihak Luxamana Sdn. Bhd., tandatangan telah dilakukan oleh Encik Wan Ahmad Adli bin Wan Ahmad Ifafudin, Pengurus Operasi dan disaksikan oleh Puan Nur Elisya binti Mohd Faisal Gunaselan, Pengurus Besar syarikat tersebut.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Uzair Haqimy bin Azman, Ketua Pegawai Eksekutif Luxamana Sdn. Bhd, Puan Wan Nora binti Wan Ahmad, Pengarah Kanan Bahagian Pasaran Produk Proses serta pegawai kanan kedua-dua pihak.
Luxamana Sdn. Bhd. merupakan syarikat logistik tempatan yang pesat berkembang sejak penubuhannya pada tahun 2022. Bermula dengan hanya sebuah lori, syarikat ini kini memiliki lebih 10 unit kenderaan logistik termasuk lori sejuk beku, van, MPV dan 4x4, serta berpengalaman luas dalam penyampaian perkhidmatan logistik merentasi pelbagai sektor industri.
Melalui kerjasama ini, FAMA akan mendaftarkan Luxamana sebagai rakan penyedia perkhidmatan penghantaran dalam platform AgroXpress dan turut menyediakan fasiliti penyimpanan bagi produk-produk segar usahawan FAMA. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan FAMA dalam memantapkan ekosistem agromakanan negara menerusi pendigitalan, pengurusan logistik yang efisien serta pengukuhan rantaian bekalan makanan negara.