23 November 2025 | Masterclass : Tiktok Shop Edition (AMTTSE) 2025 | Vivatel, Kuala Lumpur
Gambar
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus komited memperkasa keupayaan usahawan agromakanan dalam ekosistem ekonomi digital melalui penganjuran Agromarketing Masterclass TikTok Shop Edition (AMTTSE) 2025. Program ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik FAMA bersama TikTok Shop Malaysia dalam memperkukuh kemahiran pemasaran digital usahawan tempatan.
Majlis Grand Final & Penutupan Program telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA bertempat di Vivatel, Kuala Lumpur. Turut hadir memeriahkan majlis YBrs. Puan Suraya binti Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) FAMA, YBrs. Puan Hajah Siti Nurul Haida binti Ibrahim, Pengarah Kanan Keusahawanan Pemasaran, YBrs. Puan Wan Nora binti Wan Ahmad, Pengarah Kanan Pasaran Produk Proses, Encik Muhammad Nor Badlishah bin Ahmad Shahrin, Pengarah Cawangan Korporat & Advokasi dan YBrs. Cik Nur Azre binti Abdul Aziz, Pengarah Kanan Perhubungan Strategik, TikTok Shop Malaysia.
Tahun 2025 menyaksikan penyertaan meningkat kepada 182 peserta daripada 91 syarikat, merangkumi produk segar dan diproses dari seluruh negara. Para peserta mengikuti latihan intensif yang merangkumi strategi live commerce, pembangunan kandungan kreatif, penjenamaan digital, serta teknik jualan berimpak tinggi selaras dengan trend pemasaran moden.
Pencapaian Utama AMTTSE 2025
• RM12 juta nilai jualan (Julai – 15 November 2025)
• Peningkatan 94% berbanding pencapaian tahun 2024
• 8 usahawan OKU merekodkan jualan sebanyak RM286,000
• Lebih 1.3 juta tontonan sesi live streaming
• Nilai jualan kategori segar & sejuk beku: RM47,000 (USD 10,600)
Sebagai pengiktirafan, 10 syarikat terbaik akan menyertai Lawatan Pembelajaran Global ke Shanghai, China pada Disember 2025, bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-60 FAMA. Lawatan ini menawarkan peluang pembelajaran berkaitan teknologi live commerce, inovasi digital, dan strategi pasaran global.
Dalam ucapan penutupannya, Ketua Pengarah FAMA menegaskan bahawa AMTTSE 2025 membuktikan kemampuan tinggi usahawan agro Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi digital global, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan inovasi, keberdayaan, dan kesejahteraan ekonomi rakyat.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang, dan syabas kepada para peserta atas komitmen, kreativiti, dan dedikasi sepanjang program ini!
FAMA akan terus menyokong usaha memodenkan pemasaran agromakanan melalui platform digital yang inklusif dan berimpak tinggi.