Gambar

23 Jun 2022 (Khamis)| Tapak Parkir Pasaraya Lotus’s Seberang Jaya, Pulau Pinang | Penang FAMA FEST 2022 adalah lanjutan kepada program Penang FAMA Fest yang diadakan pada tahun 2018 dan 2019. Program ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia. YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I berkata, program Fruit, Flower and Food Fiesta (FamaFest) 2022 yang berlangsung selama lima hari iaitu 22 hingga 26 Jun ini di Tapak Parkir Pasaraya Lotus’s Seberang Jaya.
Antara komponen yang menjadi tarikan utama adalah Laman Durian, Empayar Makanan Popular, Jualan Orkid dan Keladi Viral serta pelbagai aktiviti lain.
“FAMA membawa usahawan-usahawan tempatan dengan menawarkan produk dengan harga yang berpatutan seperti Jualan Durian Musang King antara RM30 hingga RM35 sekilogram dan juga RM30 bagi setalam buah-buahan tempatan, bertepatan dengan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan”
Tambahnya, penyediaan platform jualan ini harus direbut oleh usahawan tempatan bagi membantu memasarkan produk dan menambah pendapatan selepas peralihan endemik dimana pelbagai aktiviti promosi dijalankan pada program tersebut sekali gus memberi manfaat kepada pelanggan yang hadir dan pelanggan yang membeli melalui platform Agrobazaar Online akan menyediakan RM20 ribu baucar pembelian dalam talian.
Tarikan utama Empayar Makanan membawakan pelbagai menu makanan popular serata negeri seperti Udang Sanggol Perlis, Teh Ais Lembah Bujang, Beriani Buluh, Patin Tempoyak , sambal hitam dan lain-lain.
Terdahulu, Ahmad mengadakan lawatan dan tinjauan kemajuan projek Pasar Tani Kekal (PTK) Seberang Jaya yang dijangka akan siap sepenuhnya pada September ini dan akan memberi manfaat kepada 45 orang usahawan. PTK Seberang Jaya ini dijangka akan meningkatkan nilai jualan peserta sebanyak 30%.
Program ini juga bersifat serampang dua mata yang mana turut mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang bakal diadakan pada 4 Ogos hingga 14 Ogos 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Tema penganjuran MAHA 2022 tahun ini iaitu 'Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan' bertepatan dengan cabaran yang sedang dihadapi negara dan global ketika ini. Pihak MAFI juga menyasarkan hasil jualan melebihi RM250 juta dengan kunjungan 100 ribu orang setiap hari.