Gambar

21 Julai 2026 | FAMA Sertai Food And Drinks Malaysia (FDM) By SIAL 2026 | Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur

 

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menyertai Food and Drinks Malaysia (FDM) by SIAL 2026, sebuah pameran perdagangan makanan dan minuman bertaraf antarabangsa yang menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk agromakanan tempatan, memperluaskan jaringan perniagaan serta meneroka peluang pasaran baharu di peringkat global.

Majlis Perasmian Food and Drinks Malaysia (FDM) by SIAL 2026 telah disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang kemudiannya turut menyempurnakan Majlis Perasmian Pavilion FAMA.

Pavilion FAMA menghimpunkan 23 usahawan agromakanan tempatan yang mempromosikan pelbagai produk berkualiti di bawah bimbingan FAMA, termasuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), peserta Projek Ladang Kontrak serta pemegang pensijilan Malaysia’s Best.

Pelbagai pengisian turut diadakan sepanjang pameran, antaranya sesi BizTalk, padanan perniagaan (Business Matching), demonstrasi masakan, promosi dan uji rasa produk usahawan, pelancaran produk baharu serta Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan, Sayur-sayuran dan Ternakan Terpilih Tempatan sebagai usaha menggalakkan amalan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.

Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan FAMA dalam memperkasa usahawan agromakanan tempatan, memperluaskan akses pasaran, meningkatkan daya saing produk tempatan serta memperkukuh rantaian pemasaran agromakanan negara.

Turut hadir sama YBrs. Puan Suraya binti Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) FAMA serta Puan Asmizal binti Jaafar, Pengarah Kanan Galakan Pasaran FAMA.