20 Mac 2025 | Khamis | Halal Oriental Market Di London : 3 BUMI Bawa Produk Malaysia Ke Peringkat Antarabangsa | London
Gambar
London, 20 Mac 2025 – 3Bumi Sdn. Bhd. mencipta sejarah dengan pelancaran rasmi Halal Oriental Market di Queensway, London, pada 20 Mac 2025, membuka lembaran baru bagi pengembangan produk halal Malaysia di pasaran antarabangsa. Pasar halal yang inovatif ini menyajikan lebih dari 59 SKU produk Agromas dan 85 SKU produk IKS Malaysia, menawarkan pilihan makanan halal premium kepada komuniti Muslim di UK serta pengguna global.
Pelancaran yang dihadiri oleh tetamu kehormat dan pelbagai pemain industri ini dirasmikan oleh Mr. Mohiuddin Ghazali, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, yang menggariskan betapa pentingnya memperkukuh kehadiran Malaysia di United Kingdom, mempromosi dan mengeratkan hubungan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara. Dalam ucapannya, beliau berkata, " Pejabat Pesuruhjaya Tinggi akan terus menyokong misi dari Malaysia untuk membawa produk terbaik Malaysia ke UK dan Eropah. Saya berharap lebih banyak produk akan memasuki pasaran UK mulai sekarang."
Di samping produk Agromas yang telah terkenal dengan kualiti dan inovasinya, 85 SKU produk IKS Malaysia yang turut dipamerkan, membawa jenama tempatan ke pentas dunia dengan menawarkan pelbagai pilihan produk seperti makanan, rempah ratus, dan produk tenusu yang mencerminkan kekayaan budaya Malaysia.
En. Faisal Iswardi Bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) di FAMA, yang turut hadir di majlis tersebut, menekankan bahawa kejayaan ini membuka peluang luas bagi pengusaha Malaysia untuk mengeksport produk mereka ke pasaran yang lebih besar. “Ini adalah contoh cemerlang bagi kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memacu pertumbuhan industri agro-makanan Malaysia di peringkat global. Dengan peningkatan permintaan terhadap produk halal yang berkualiti, potensi pasaran UK dan Eropah adalah sangat besar,” kata En. Faisal.Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pn. Halimahton Munawaroh Binti Tasu, Setiausaha Pertama, Pejabat Wakil Pertanian Malaysia di The Hague, yang memuji usaha ini sebagai langkah strategik yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara.
Dengan pelancaran ini, Halal Oriental Market bukan sahaja menawarkan produk Malaysia yang berkualiti, tetapi juga membuka ruang baru untuk memperkenalkan lebih banyak jenama Malaysia ke pasaran global, serta memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang di luar negara. Pasar ini akan menjadi destinasi utama bagi produk halal, mencipta lebih banyak peluang perniagaan dan memperluas edaran produk Malaysia di pasaran Eropah.