20 Jun 2026 | Majlis Perasmian Program Road To MAHA 2026 (RTM) Zon Tengah | Kompleks Sukan Pandamaran, Klang, Selangor
Gambar
Program Road to MAHA 2026 (RTM) Zon Tengah yang berlangsung pada 18 hingga 21 Jun 2026 menjadi platform strategik dalam memperkukuh pembangunan sektor agromakanan negara serta membuka lebih banyak peluang pasaran kepada usahawan tempatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang turut melancarkan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pasaran Agromakanan (SISDA) bagi memperkasakan sistem pemantauan bekalan dan pasaran makanan negara melalui teknologi digital.
Turut dilancarkan Laman Web Rasmi MAHA 2026 sebagai pusat maklumat sehenti bagi penganjuran ekspo pertanian terbesar negara itu, selain memperkenalkan dua maskot rasmi MAHA 2026, iaitu Che Lah dan Che Yam yang menjadi simbol kemeriahan serta mencerminkan potensi sektor agromakanan negara.
Dalam majlis yang sama, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd. turut menyerahkan tajaan kenderaan rasmi MAHA 2026 sebagai tanda komitmen sektor swasta dalam menyokong pelaksanaan Road to MAHA 2026 dan memperkukuh sinergi antara kerajaan serta pemain industri.
Sebanyak RM4.4 juta insentif dan bantuan geran telah disalurkan kepada 215 usahawan agromakanan di Zon Tengah. Daripada jumlah tersebut, FAMA telah menyalurkan RM1.663 juta kepada 81 penerima bagi memperkukuh pembangunan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta memperluaskan akses pasaran.
Program ini merupakan sebahagian daripada siri promosi menuju MAHA 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.