20 Januari 2025 | Isnin | Medan Niaga Satok: Hab Pemasaran Hasil Pertanian di Sarawak
KUCHING, 20 JANUARI 2025 – Medan Niaga Satok, yang mula beroperasi pada tahun 2013, telah berkembang menjadi sebuah pusat perniagaan strategik dan destinasi utama bagi penduduk tempatan serta pelancong. Terletak di kawasan seluas 12.25 ekar, kompleks ini menyediakan infrastruktur moden yang lengkap untuk memudahkan para penjaja dan pengunjung dalam urusan jual beli komoditi pertanian. Ianya bermula pada tahun 2006 dan sejak itu telah melalui proses naik taraf berterusan sehingga menjadi sebuah hab pemasaran pertanian yang berdaya saing. Kini, seramai 870 peniaga menjalankan perniagaan mereka di sini, merangkumi pelbagai kategori seperti pasar basah, pasar minggu, pasar borong, pasar sayur, plaza, dan benteng. Operasi setiap hari menjadikan Medan Niaga Satok sebagai salah satu destinasi penting di Kuching untuk barangan segar dan keperluan harian. Simbol Kerjasama Persekutuan dan Negeri Medan Niaga Satok adalah bukti kukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak. Diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), ianya mencerminkan kebersamaan untuk pemasaran hasil pertanian Sarawak serta meningkatkan pendapatan petani dan peniaga. Lawatan Kerja Ketua Setiausaha KPKM Dalam sesi lawatan kerja YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha KPKM pada 20 Januari 2025, beliau meninjau pelbagai usaha naik taraf yang sedang dilaksanakan oleh FAMA. Antaranya ialah pembangunan Blok E (Benteng), yang direka untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan pengunjung. Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Encik Abdul Rashid bin Bahri dan Pengarah FAMA Sarawak, Puan Norsalawaty binti Abdul Kadir yang memberi taklimat tentang pelaksanaan naik taraf di Blok B (Pasar Basah) dan Blok C (Pasar Kering), yang telah siap sepenuhnya. Usaha ini memastikan para penjaja dapat menjalankan perniagaan dalam persekitaran yang lebih selesa dan efisien. Medan Niaga Satok akan terus menyediakan akses yang lebih baik kepada hasil tani, mempromosikan produk tempatan, dan memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
Last Update:
Aplikasi Jumlah Pelawat ini hanya dipaparkan untuk Pengurus Laman bagi tujuan mengubah configurasi.