19 - 21 Februari 2025 | Lawatan Kerja Rasmi FAMA Ke Thailand | Pasar Talaad Thai dan Pasar Or Tor Kor, Thailand
Dalam usaha memperkukuh pengurusan sisa makanan dan meningkatkan keberkesanan inisiatif kitar semula di fasiliti pemasaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Thailand pada 19 hingga 21 Februari 2025. Lawatan ini melibatkan lima pegawai kanan FAMA yang diketuai oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA ke Pasar Talaad Thai dan Pasar Or Tor Kor, dua pasar utama di Thailand yang terkenal dengan sistem pengurusan sisa buangan yang cekap dan mampan. Sebagai agensi pemasaran utama sektor pertanian negara sejak 1965, FAMA terus komited untuk memastikan produk agromakanan dipasarkan secara strategik sambil mengurangkan impak sisa makanan terhadap alam sekitar. Lawatan ini bertujuan untuk mempelajari dasar pengurusan sisa makanan di Thailand, khususnya amalan pengasingan sisa yang membolehkan sisa makanan diguna semula sebagai baja kompos atau makanan ternakan. Melalui lawatan ini, delegasi FAMA juga berpeluang meninjau teknologi penyediaan baja kompos serta meneroka potensi kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat di Thailand. Selain itu, mereka turut menganalisis bagaimana hasil sampingan sisa makanan boleh dimanfaatkan untuk aplikasi lain seperti bioenergi dan bioplastik. FAMA yakin bahawa pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada lawatan ini akan memperkasa usaha sedia ada dalam menangani sisa makanan serta menggalakkan amalan lestari di seluruh rangkaian fasiliti pemasaran negara. Turut serta dalam lawatan kerja ini adalah YBrs. Encik Shahrizan Bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi) FAMA dan YBrs. Puan Habibah Binti Sulaiman, Pengarah Kanan Galakan Pasaran FAMA.
Last Update:
Aplikasi Jumlah Pelawat ini hanya dipaparkan untuk Pengurus Laman bagi tujuan mengubah configurasi.