Gambar

16 Julai 2026 | Perasmian Pavilion FAMA Di MIFB 2026 | Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)

 

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh agenda pembangunan pemasaran hasil agro makanan negara melalui penyertaan dalam Malaysia International Food & Beverages Trade Fair (MIFB) 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Julai 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Penyertaan ini menjadi platform strategik bagi memperluaskan akses pasaran usahawan agro makanan tempatan serta meningkatkan daya saing produk keluaran negara di peringkat antarabangsa.

Majlis Perasmian Pavilion FAMA di MIFB 2026 telah disempurnakan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agro makanan) FAMA, Puan Suraya binti Yusof. Turut diadakan ialah gimik perasmian pavilion, sesi walkabout serta aktiviti edaran uji rasa buah-buahan sempena Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan, Sayur-sayuran dan Ternakan Terpilih Tempatan.

MIFB merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman bertaraf antarabangsa yang telah menjadi platform utama industri selama lebih 25 tahun serta menjadi pintu masuk strategik kepada pasaran ASEAN dan global. Penyertaan FAMA dalam pameran ini selari dengan usaha kerajaan memperkukuhkan rantaian nilai agro makanan negara melalui penglibatan aktif usahawan tempatan dalam ekosistem perdagangan antarabangsa.

Melalui Pavilion FAMA, seramai 10 syarikat usahawan Projek Ladang Kontrak FAMA mengetengahkan sebanyak 50 SKU produk berasaskan pertanian tempatan, termasuk produk hiliran kelapa, pisang, tempe, melon, sarang burung, sayur-sayuran, bunga-bungaan, nangka, cendawan, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), produk berasaskan tebu serta durian sejuk beku. Penyertaan ini dijangka mampu menjana potensi nilai jualan sebanyak RM500,000 dengan sasaran kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung.