Gambar

13 Oktober 2021 | Rumah Prihatin @ Grand Seasons Kuala Lumpur | PENYERAHAN RICE ATM ANTARA SYARIKAT PHGLOCK VIETNAM KEPADA KERAJAAN MALAYSIA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bekerjasama dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Vietnam, syarikat PHGLock Vietnam dan Sekretariat Food Bank Malaysia bagi agihan beras menggunakan mesin automatik (Rice ATM Machine).
Mesin berkapasiti 500 kg ini berupaya untuk mengendali agihan kepada 200 orang/ jam dan hanya memerlukan tenaga kerja minima untuk memantau pengoperasiannya.
Atas semangat #KeluargaMalaysia pemilik syarikat PHGLock yang juga merupakan rakyat Malaysia berasal dari Johor telah menyatakan hasrat kepada Pejabat MATRADE di Vietnam untuk membuat sumbangan Rice ATM kepada kerajaan Malaysia. Lanjutan daripada perbincangan bersama pihak syarikat, FAMA telah menyelaras urusan logistik untuk membawa masuk lima unit Rice ATM ke Malaysia.
Sekretariat Food Bank Malaysia pula telah diberi mandat untuk mengoperasikan Rice ATM tersebut di lokasi terpilih antaranya di Kuala Lumpur, Johor dan Perak dimana mereka telahpun melaksanakan program CSR dalam bentuk agihan makanan kepada golongan kurang berkemampuan di Malaysia. Sumbangan Mesin ini akan membantu melancarkan aktiviti agihan beras dengan lebih cekap dan effektif.
Penyerahan Rice ATM Machine ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang mewakil kerajaan Malaysia kepada pihak Sekretariat Food Bank Malaysia. 
Sebelum itu, agihan beras menggunakan Rice ATM kepada golongan asnaf dan penyerahan sumbangan MAFI Prihatin juga telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kepada golongan asnaf yang berdaftar dengan Rumah Prihatin @ Grand Seasons (Rumah Prihatin), Kuala Lumpur.
Turut hadir ke program ini adalah YBhg. Dato’ Zainal Abidin Bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA dan YH. Dato’ Abdul Ghariff Bin Ramin, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA.