Gambar

13 Disember 2021 | Syarikat World Prominence Sdn Bhd, Batu Caves | PRODUK REMPAH MASAKAN KELUARAN SYARIKAT PKS TEMPATAN KINI TEMBUSI PASARAN UNITED KINGDOM DAN NEGARA EROPAH
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) The Hague dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mempergiatkan aktiviti penerokaan pasaran di benua tersebut dalam usaha meningkatkan nilai dagangan eksport produk agromakanan Malaysia di sana. Sepanjang tahun 2021 pelbagai program promosi telah dilaksana antaranya MyFlavours Europe, Malaysia Food and Fruits Week, Fruit Diplomacy dan lain-lain program promosi in-store samada secara fizikal mahupun online.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMk-12), pendekatan baru turut diambil oleh MAFI menerusi FAMA dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama ejen pemasar di luar negara. Langkah ini bersesuaian dengan suasana ekonomi semasa yang mencabar dan perjalanan antarabangsa yang masih terbatas. Ejen pemasar yang dilantik akan menjalankan aktiviti promosi dan padanan perniagaan dengan pemain industri di luar negara untuk meningkatkan kesedaran dan permintaan penggguna seterusnya memperolehi tempahan eksport.  
Program yang dirangka tersebut dapat memberi manfaat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk meluaskan pasaran mereka di peringkat antarabangsa. Syarikat World Prominence Sdn. Bhd. merupakan antara usahawan PKS tempatan yang menyertai program pembangunan eksport anjuran MAFI melalui FAMA, di mana syarikat tersebut kini telah menerima tempahan eksport bagi produk rempah masakan keluaran mereka untuk di pasarkan di United Kingdom dan Eropah dengan nilai melebihi RM200,000.
Majlis Flag Off Pengeksportan Produk Syarikat World Prominence Sdn. Bhd. Ke Pasaran United Kingdom dan Eropah telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). Turut hadir ke majlis ini adalah YBhg. Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, YH. Dato’ Abdul Ghariff Ramin, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA dan En. Khalid Ibrahim, Setiausaha Bahagian Pembangunaan Perniagaan dan Pelaburan MAFI.
Menurut Dato’ Haslina, “Secara keseluruhan tempahan yang diterima adalah sebanyak 132 karton (26 SKU) bagi pasaran United Kingdom dan 655 karton (74 SKU) bagi pasaran Eropah. Tempahan eksport ke United Kingdom kini dalam pelayaran ke destinasinya manakala bagi pasaran Eropah pelayarannya dijangka pada 16 Disember 2021. Produk tersebut akan di pasarkan menerusi 3 platform e-dagang di United Kingdom, Belanda dan Jerman. Disamping itu, ia juga bakal dijual di pasaraya terpilih seperti Wah Nam Hong Supermarket (Belanda), Go Asia Supermarket (Jerman) dan One Asian Supermarket (Switzerland).
Syarikat World Prominence Sdn. Bhd. mengeluarkan produk rempah masakan pra campur (premix cooking paste) yang terdiri daripada pelbagai variasi resipi termasuk masakan tradisional, barat, Korea dan lain-lain di bawah jenama SUDEE dan Maznah. Kilang syarikat yang terletak di Batu Caves, Selangor juga memperolehi pengiktirafan sijil Halal dan pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).
Pada majlis ini juga, Dato’ Haslina turut mengadakan sesi sidang video bersama pengimport dari Jerman dan Konsular Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) The Hague bagi membincangkan mengenai isu semasa serta peluang pasaran bagi produk PKS agromakanan Malaysia di Eropah.