10 November 2026 | Himpunan Agropreneur Nextgen 2026 Perkukuh Pemberdayaan Usahawan Agro | Dewan SJK (c) Keh Seng
MELAKA, 10 November 2026 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melaksanakan Himpunan Agropreneur NextGen 2026 di SJK(C) Keh Seng, Bukit Katil, Melaka yang menghimpunkan usahawan makanan dan industri asas tani bersama agensi kerajaan serta rakan industri. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir, YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Ketua Pengarah FAMA dan YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Haniff bin Hassan, Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT), KPKM. Program ini menjadi platform pemerkasaan usahawan agro melalui perkongsian ilmu, khidmat nasihat serta peluang jaringan perniagaan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan, kewangan dan pemasaran. Antara pengisian yang disediakan termasuk pameran agensi, padanan perniagaan (business matching), pendaftaran iFAMA serta perkongsian berkaitan geran, pembiayaan dan pemasaran digital. Selain itu, pendedahan terhadap penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan pemasaran turut diketengahkan bagi membantu usahawan meningkatkan promosi produk serta meneroka peluang pasaran yang lebih luas. Penganjuran ini mencerminkan komitmen KPKM melalui FAMA dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan agro, memperluas jaringan kerjasama serta membuka lebih banyak peluang pembangunan perniagaan bagi melahirkan usahawan yang inovatif, berdaya maju dan berdaya saing dalam sektor agromakanan negara.
Last Update:
Aplikasi Jumlah Pelawat ini hanya dipaparkan untuk Pengurus Laman bagi tujuan mengubah configurasi.