Gambar

1 OGOS 2025 | MAJLIS PERASMIAN EXPO MALAYSIA FEST 2025 | SINGAPORE EXPO, CHANGI

Expo Malaysia Fest 2025 secara rasminya telah dirasmikan dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hall 5A & 5B, Singapore Expo, Changi.

Program ini merupakan penganjuran kali ke-8 hasil kerjasama antara MegaXpress International Pte. Ltd. dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Dato’ Indera Dr. Azfar bin Mohamad Mustafar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura. Turut hadir ialah Dr. Syed Harun Taha Alhabsyi, Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nee Soon GRC, YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli, Pengerusi FAMA serta YBrs. Encik Hamzah bin Abdullah, Pengarah Urusan MegaXpress International Pte. Ltd.

Expo Malaysia Fest 2025 yang membawa tema “Unlock the Treasures of Malaysia” bakal berlangsung selama empat hari bermula 31 Julai hingga 3 Ogos 2025, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Edisi tahun ini mencatat rekod penyertaan tertinggi dengan 321 ruang pameran, melibatkan penyertaan usahawan dari seluruh negeri di Malaysia, termasuk Kerajaan Negeri Selangor, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak serta FAMA dan agensi lain di bawah kerajaan negeri dan persekutuan.