Gambar

1 Jun 2025 | MAJLIS PERASMIAN PENUTUP FAMA FEST 2025 @ PERAK | RTC Perak
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak menganjurkan program FAMA Fest 2025 @Perak bermula 29 Mei hingga 2 Jun 2025 bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak. Program ini merupakan edisi ketujuh yang dianjurkan di negeri Perak dan dijangka menarik seramai 150,000 orang pengunjung sepanjang lima (5) hari penganjuran.
Majlis perasmian FAMA Fest 2025 @ Perak telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Negeri Perak pada hari ini. Turut hadir, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bersama-sama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan serta wakil agensi berkaitan.
FAMA Fest 2025 @Perak menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3 juta dengan penyertaan lebih 120 orang usahawan melalui 210 lot jualan dan pameran yang melibatkan pelbagai kluster produk agromakanan. Program ini memberi ruang kepada para usahawan tempatan memasarkan produk, memperluas jaringan niaga serta memperkenalkan hasil tani berkualiti tinggi terus kepada pengguna. Pelbagai segmen menarik turut ditampilkan seperti Jualan Agro MADANI yang menawarkan produk segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, daging, ikan dan beras, termasuk 2,500 Kombo Madani yang dijual pada harga penjimatan sehingga 30%.