Gambar

1-3 Julai 2025 | FAMA SERTAI FOOD & DRINKS MALAYSIA (FDM) BY SIAL 2025 | MITEC, Kuala Lumpur

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyertai Pameran Antarabangsa Food & Drinks Malaysia (FDM) by SIAL 2025 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 Julai 2025.
Program bertaraf antarabangsa ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, dan menghimpunkan lebih 450 syarikat pempamer dari seluruh dunia, dengan kehadiran dijangka melebihi 15,000 pengunjung dagangan.
FAMA, bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah penyelarasan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), membawakan penyertaan 15 syarikat usahawan bimbingan yang menampilkan pelbagai produk agromakanan tempatan — antaranya nangka sejuk beku, kopi tempatan, rumpai laut, nanas, produk ayam sejuk beku, makanan bayi dan banyak lagi.
Antara fokus utama FDM tahun ini termasuklah Pameran produk makanan dan minuman, Forum Halal, Teknologi industri makanan dan Aktiviti perdagangan dan jaringan eksport.
FAMA turut mengaturkan sesi padanan perniagaan (business matching) bersama pembeli antarabangsa dari Hong Kong, United Kingdom dan Kemboja, sebagai usaha menghubungkan usahawan tempatan ke pasaran eksport yang lebih luas.
Penyertaan ini diunjur menjana potensi jualan sehingga RM8.2 juta, sejajar dengan aspirasi FAMA untuk terus memperkukuh kedudukan produk agromakanan Malaysia di pasaran global.
Usaha ini merupakan langkah strategik ke arah memperkasakan jaringan eksport dan meningkatkan daya saing produk tempatan di peringkat antarabangsa.