Gambar

01 November 2022 | Selasa | Pusat Memproses Makanan FAMA, Kuala Selangor | Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Makanan Monsun Timur Laut Bagi Tahun 2022/2023
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membekalkan sebanyak 62,500 kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan diberikan kepada mangsa yang terlibat dalam banjir.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Encik Abdul Rashid Bin Bahri berkata, pihaknya diberi kepercayaan oleh NADMA untuk membekalkan kit makanan sejak tahun 2015 sehingga kini.
“Ia sebagai bantuan awal kepada setiap keluarga mangsa bencana dan diisi dengan produk berjenama Agromas dan produk usahawan lain yang sedia untuk dimakan segera tanpa perlu memasak.
“Semua makanan itu boleh bertahan selama setahun dan jumlah 62,500 kit yang ditambah tahun ini berikutan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban mangsa bencana.
En Jamil Derus bin Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar), NADMA berkata “bagi kit makanan Kit Makanan Monsun Timur Laut 2022/2023, NADMA memutuskan untuk meletakkan produk tambahan seperti beras, garam, serbuk teh dan gula dalam usaha untuk membantu mangsa mangsa bencana semasa dan selepas pulang ke kediaman," katanya.
Jelasnya, NADMA telah memberikan peranan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai pihak yang akan menerima stok kit makanan di peringkat negeri sebelum diedarkan kepada pusat pangkalan hadapan atau pusat pemindahan sementara.
Turut hadir, YBrs. PPj (PA) Mulliadi Al-Hamdi Bin Ladin, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Selangor, YBrs. Encik Faisal Iswardi Bin Ismail, Pengarah Kanan (Pemasaran Industri Makanan) FAMA dan YBrs. Puan Aiada Binti Abdul Rashid, Pengarah FAMA Negeri Selangor.