Photos

7 Disember 2023 | Khamis | Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak
Pada hari ini telah berlangsung satu program yang julung-julung kali diadakan di Bangunan SUK Perak. FAMA dengan kerjasama dari Pejabat Exco Pertanian telah menganjurkan satu program Promosi Jom Makan Buah-Buahan Tempatan Sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Perak. 
Kehadiran YAB Dato' Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak, serta YB Dato' Mohammad Zahir Bin Abdul Kadir, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, memberikan sokongan penting kepada program ini. Turut hadir adalah YB Dato' Mohd Zolkafly Bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, YB Dato' Salbiah Binti Mohamed Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak dan YBrs. Tuan Haji Aminuddin Bin Zulkipli, Pengerusi FAMA serta ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Jabatan yang lain.
Program ini bertujuan bagi mempromosikan buah-buahan tempatan dari negeri Perak serta meningkatkan kesedaran kepentingan pengambilan buah-buahan tempatan secara umumnya, dalam diet seharian. Buah-buahan tempatan seperti Rambutan, Pulasan, Dokong, Limau Bali, Limau Manis, Betik Sekaki, dan Nangka yang dihidangkan dalam program ini merupakan contoh yang baik untuk mempromosikan kepelbagaian produk pertanian negeri Perak. Selain itu, minuman dari perahan buah Naga dan Kedondong memberikan variasi yang menarik dan menyokong idea pemakanan yang sihat.
Di samping itu, turut mempromosikan RTC yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang juga merupakan pusat pembangunan ekonomi kepada penduduk di sekitar Gopeng. 
Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dari Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan petugas yang telah mencadangkan lebih banyak program seperti ini dijalankan semasa Sidang DUN yang akan datang. Hadir sama, YBrs. Tuan Haji Noorsham Bin Ramly, Pengarah FAMA Negeri Perak yang telah menyantuni tetamu-tetamu yang hadir ke program ini.