Malaysia's Best

PENGENALAN

Buah-buahan tempatan yang dijual sekarang sama ada di dalam atau di luar Negara tidak mempunyai sebarang maklumat yang jelas mengenai jaminan kualiti.
Kebanyakan pengguna menggunakan cara tradisional untuk memilih buah-buahan yang dibeli, iaitu dengan menggoncang, memicit, menghidu atau dengan merasa buah tersebut sebelum membeli, bagi mendapatkan buah yang terbaik dan berkualiti.
Tabiat ini didapati bukan sahaja tidak wajar malah memakan masa.
Kini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memperkenalkan jenama “Malaysia’s Best” untuk mengatasi masalah anda memilih buah-buahan berkualiti. Ia begitu mudah, cuma pilih buah-buahan yang menggunakan lambang “Malaysia’s Best” ini.

Apakah itu "Malaysia's Best"?

“Malaysia’s Best” merupakan program nasional yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui agensinya, FAMA. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan buah-buahan tempatan yang berkualiti. Seperti gelarannya, “Malaysia’s Best” ialah buah-buahan tempatan yang diperaku telah melalui proses pemilihan yang teliti daripada peringkat pemilihan biji benih sehinggalah buah-buahan itu dipasarkan. Segala-galanya menepati standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Hanya buah-buahan yang menepati standard ini yang layak menggunakan lambang “Malaysia’s Best”.

Kenapa "Malaysia's Best"?

“Malaysia’s Best” diwujudkan bagi melahirkan identiti Malaysia bagi semua hasil pertanian Malaysia khususnya di pasaran antarabangsa.
Selain itu, logo “Malaysia’s Best” juga digunakan sebagai tanda kelulusan daripada pihak berkuasa yang mengiktiraf iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.