Perutusan Dari Pengerusi FAMA

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T., Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian.


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Salahuddin bin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini akan cuba saya laksanakan dengan sebaik mungkin demi kemajuan bidang pemasaran pertanian dan industri asas tani negara. 


Kepada warga FAMA, ingin saya menyeru agar sentiasa mengamalkan konsep 3I iaitu Ihsan, Insan dan Ikhlas dalam melaksanakan pekerjaan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Tanggungjawab yang dilaksanakan dengan sikap ihsan dan keikhlasan, akan beroleh faedah dan ganjarannya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.


Setiap warga FAMA merupakan agen perubahan (change agent) dan membawa misi Rahmatan lil’alamin, yang boleh memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat. Semoga dengan pelaksanaan gerakerja yang dirancanakan oleh FAMA, faedah dan manfaatnya dapat dirasai dan dinikmati oleh golongan sasar dan seluruh rakyat umumnya.
Kita perlu terus bergerak dengan bersatu hati, bersatu suara dalam melaksanakan tanggungjawab sehingga kita benar-benar dekat dan dapat menambat hati rakyat, sesuai dengan slogan kita ‘FAMA Di Hati Rakyat’.


Dengan tanggungjawab dan amanah yang besar sebagai Pengerusi FAMA, saya amat berharap dapat melaksanakan amanah yang diberi ini dengan penuh berintegriti dan profesional. Semoga FAMA akan terus memperluaskan luang pasaran para usahawan tani agar rakyat mendapat produk makanan yang segar, bersih, cepat, selamat dengan harga yang berpatutan.


Akhir kata, jutaan terima kasih kerana sudi melayari laman web FAMA yang merupakan salah satu sumber rujukan maklumat mengenai bidang pemasaran pertanian dan industri asas tani negara.

‘PERTANIAN ADALAH SUMBER REZEKI’
‘FAMA DI HATI RAKYAT’


TUAN HAJI ISHAK BIN ISMAIL
PENGERUSI
LEMBAGA PEMASARAN PERTANIAN PERSEKUTUAN (FAMA)