Perutusan Menteri Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani

Saya mengharapkan tahun 2020 ada jabatan kita yang sama seperti JPJ. Sekarang kalau hilang lesen tak perlu buat laporan polis. Hari ini mungkin dengan satu kaunter boleh menyelesaikan segala masalah. Hari ini KWSP boleh menunjukkan rekod kecemerlangan. Dulu kalau beri dokumen ada sahaja yang tidak kena, ada yang tidak cukup. Sekarang dengan satu butang boleh selesaikan masalah rakyat. Ini yang kita mahu; kecemerlangan wujud dalam MOA. Kita boleh buat. Di luar petani miskin yang mengharapkan kita. Kalau berlaku kerenah antara jabatan saya akan mengambil tanggungjawab.

Baru ini kita ke Perlis. Sawah kering kontang. Masih ada lagi jawapan mengatakan ‘ini bukan kuasa saya’, ‘ini mesti dirunding dengan jabatan’. Petani hari-hari menangis tengok padi rosak. Peraturan apa ini? Tuduh menuduh antara satu sama lain. Saya mahu perkara ini selesai once and for all. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pegawai yang cuba untuk bermain-main dengan tanggungjawab dan cuba melakukan sesuatu yang tidak menepati ikrar yang anda janjikan.

Di tangan saya masih ada nama pegawai yang menipu borang pendaratan ikan, masih ada dalam simpanan saya. Saya baru waktu itu. Saya ada nama pegawai yang memperlekehkan minit saya tulis, yang mengatakan ‘siapa dia’? Nama pegawai saya masih ada. Saya bukan jenis pendendam, saya maafkan mereka. Tetapi 2020 saya bukan lagi Salahuddin Ayub 2019. Saya tidak takut dan tidak teragak-agak lagi untuk memastikan pegawai-pegawai kita dapat melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab. Selagi saya betul dan tidak melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, saya wajib ditaati. Tidak perlu iring saya, beri bunga, nyanyi lagu hari jadi untuk saya, saya tidak minta itu semua. Yang saya pohon ialah kebersamaan kita menerajui kementerian untuk rakyat di luar sana yang selayaknya mendapat banyak manfaat dari kementerian yang besar ini.

Saya diberitahu tidak sampai 50% belanja pembangunan dapat dilaksanakan, kita kena beri balik MOF. Apa maknanya ini? Salah ibu yang mengandung? Salah menteri yang memimpin? Salah KSU yang menjalankan urus tadbir?

Pegawai yang iring jangan sekadar iring saya, mesti belajar dan mengerti siapa saya. Bagaimana saya begitu passionate untuk mengagihkan Rezeki Tani. Air mata saya mengalir melihat mereka mendapat bantuan kita. Bagi kita mungkin tidak ada apa-apa, hanya sebuah oven. Apa makna kuali bagi kita tetapi bagi mereka yang miskin yang ada anak kecil yang masih mampu berdiri memasak kuih, besar makna itu bagi mereka. Duit kita banyak tidak habis belanja, kenapa?

 
Pages: 1  2  3  4  5  6  7