Perutusan Menteri Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani

UCAPAN YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB

MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2020

(Al-Nisaa’ 4:58) Firman Allah SWT antara lain yang bermaksud sesungguhnya Allah memerintahkan supaya urusan amanah itu diserahkan kepada mereka yang ahli, yang selayaknya. Sekiranya kamu menghukum di kalangan manusia, maka hendaklah kamu menghukum dengan seadilnya.

Saya mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana kehadiran yang begitu ramai pada pagi ini. Saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2020 dan kita akan menghadapi cabaran yang semakin besar dalam melangsungkan perjuangan yang masih jauh dan panjang. Saya juga bersyukur kehadrat Allah SWT kerana diberikan kekuatan untuk masih terus berdiri di sini dan insyaAllah terus berlari pantas kehadapan dalam menerajui kementerian yang sangat besar, sangat dekat dengan rakyat. Di mana keluhan, tangisan, keringat dan tenaga mereka merupakan nadi dan denyut jantung kita bersama untuk kita pastikan mereka akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang baru-baru ini dilancarkan oleh kerajaan dan paling penting meningkatkan pendapatan mereka untuk mereka juga boleh hidup sepertimana rakyat seluruhnya di dalam negara kita.

Masa untuk saya belajar telah tamat. Masa untuk saya mencuba-cuba telah selesai. Saya berdiri pada pagi ini untuk memimpin pasukan kementerian dengan langkah-langkah yang telah kita susun melalui halatuju yang dilancarkan dengan jelas dan menuntut kepada pelaksanaan yang lebih tuntas. Masa untuk saya mencuba-cuba juga telah berakhir. Ini bukan lagi zaman untuk terkial-kial ataupun tercari-cari arah tuju. Tetapi berbekalkan pengalaman satu tahun 8 bulan sudah cukup mendewasakan saya dan menjadikan saya lebih yakin bertindak untuk terus mengarahkan dan memberikan pedoman supaya kementerian ini mampu menyahut cabaran YAB Perdana Menteri. Dalam pertemuan tertutup empat mata dengan saya, beliau berkata WKB tidak akan menjadi kenyataan kecuali MOA memberikan sumbangan paling besar ke arah mencapai matlamat tersebut.

Saya tidak akan teragak lagi untuk memberi arahan jelas, mengambil tindakan yang lebih tegas dan seterusnya saya akan cuba sedaya mungkin untuk mengasaskan pemikiran, gagasan kerja yang lebih konstruktif yang saya tuntut dari pasukan kementerian yang dipimpin KSU dan seluruh pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi untuk mendukung apa yang bakal kita bawa bersama tahun ini.

Ada dua kelompok yang masih lagi kita tidak dapat tangani secara tuntas nasib mereka iaitu pesawah padi dan nelayan yang masih miskin yang menjadi agenda besar untuk kita selesaikan. Segala polisi-polisi baru akan dicipta dan dimuktamadkan dan polisi-polis yang lama, yang ketinggalan zaman akan kita tinggalkan.

Pages: 1  2  3  4  5  6  7