Kontrak Pemasaran Produk Proses

Pengenalan 
 
Program kontrak pemasaran produk proses merupakan sebahagian daripada perkhidmatan pemasaran produk makanan proses terpilih atau produk juara yang dikeluarkan oleh usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk diedarkan oleh FAMA di bawah jenama seperti OleMas dan AgroMas.

Kontrak pemasaran merupakan satu ikatan persetujuan di antara FAMA dan usahawan di mana FAMA menjamin pasaran dan usahawan PKS bersetuju mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, pembungkusan, harga dan masa yang ditetapkan oleh FAMA.

Usahawan dalam program ini dipanggil “vendor”.

Pemilihan vendor atau produk bagi jenama AgroMas dibuat oleh FAMA, sementara pemilihan vendor atau produk untuk jenama OleMas dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
 
Produk Tumpuan
 
Keutamaan diberikan kepada produk terpilih/juara (Winning Products), iaitu :


• Produk yang diterima oleh pengguna dalam dan luar negara dan mempunyai potensi pasaran yang nyata
• Tidak bersaing secara terus dengan produk keluaran syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa (multi-national corporations)
• Mempunyai bekalan bahan mentah yang cukup dari dalam negara atau serantau


Matlamat


• Memperluaskan pasaran produk usahawan PKS
• Meningkatkan daya maju perusahaan PKS
• Menambah nilai produk segar terpilih

Skop Perkhidmatan FAMA
 
Usahawan dan produk yang dipilih di bawah program ini akan menikmati perkhidmatan-perkhidmatan berikut:


• Analisis Produk Analisis mikrob, biologi dan nilai pemakanan bagi tujuan penyediaan label
• Khidmat Nasihat Pembangunan Kualiti FAMA membimbing usahawan dalam meningkatkan kualiti produk melalui Program Audit Pembekal
• Khidmat Nasihat Rekabentuk Pembungkusan dan Pelabelan Penyediaan rekabentuk pembungkusan dan label bagi produk yang terpilih
• Kursus Dan Program Dampingan Dengan Usahawan Usahawan yang telah berjaya bagi meningkatkan kepakaran dan kemahiran usahawan/pelatih dalam bidang pemasaran produk asas tani.
• Jaminan Pasaran FAMA membeli dan mengedar produk-produk terpilih yang dijenamakan oleh FAMA berdasarkan kuantiti dan masa yang dipersetujui.
• Promosi Dan Pengiklanan FAMA menjalankan program promosi dan pengiklanan bagi produk yang berjenama AgroMas dan OleMas.

Kumpulan Sasaran
 
Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah giat mengeluarkan produk terpilih yang dikenalpasti oleh FAMA dan yang mampu memenuhi pra-syarat perkhidmatan.
 
Kelayakan

• Produk usahawan termasuk dalam senarai produk tumpuan/produk terpilih FAMA (Sila rujuk senarai terkini di laman web www.fama.gov.my atau hubungi Bahagian Pemasaran Produk Proses FAMA
• Produk mendapat pengiktirafan halal daripada badan-badan yang diiktiraf oleh kerajaan.
• Mempunyai premis pengeluaran yang lengkap dan sempurna untuk pemprosesan makanan yang berasingan daripada tempat kediaman.
• Berupaya membekalkan produk yang diperlukan oleh FAMA secara berjadual.
• Perniagaan mesti didaftarkan sekurang-kurangnya bertaraf enterprise.
• Produk mesti mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.
• Lulus audit perbekalan FAMA.
• Bersedia menerima teguran, pandangan dan cadangan dalam semua aspek perbekalan produk.

Cara Memohon
 
Usahawan yang ingin mendapat keterangan lanjut atau berminat untuk menyertai program ini boleh mengemukakan permohonan kepada:
 
Bahagian Pemasaran Produk Proses,
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

Bangunan FAMA Point
Lot 17304, Jalan Persiaran 1
Bandar Baru Selayang
68100 Batu Caves
Selangor Darul Ehsan