PERANGKAAN Pengenalan FAMA juga mengutip, mengumpul, menyimpan, menyelenggara dan mengemaskini maklumat pasaran secara berjadual. Maklumat ini merupakan data primer yang dikumpul sendiri dan juga data sekunder, atau data yang diperolehi daripada sumber-sumber lain. Kedua-dua jenis data ini digunakan untuk menjana laporan-laporan yang diterbitkan oleh FAMA. Ia juga boleh diperolehi dalam bentuk asal untuk kegunaan penyelidikan pasaran dan perancangan perniagaan oleh sesiapa yang berminat. Maklumat ini boleh didapati dengan menghubungi Cawangan Khidmat Maklumat Pasaran. Data Primer (Primary Data) Data primer yang dikutip oleh FAMA adalah seperti berikut: - Data Penggunaan Bahan Makanan Mentah.
Maklumat ini dikumpul oleh FAMA dalam tempoh masa tertentu. Ia menunjukkan kuantiti penggunaan bahan makanan mentah tahunan oleh negara. Data siri masa penggunaan dan aliran penggunaan ini dapat digunakan untuk menganggar potensi pasaran sesuatu produk pertanian pada masa hadapan. Data ini merangkumi tiga kategori seperti berikut: - Jumlah Penggunaan Isi Rumah
Jumlah penggunaan isi rumah merupakan kuantiti bahan makanan mentah dan bahan makanan proses terpilih yang digunakan oleh penduduk Malaysia dalam masa satu tahun. FAMA mengumpul data penggunaan isi rumah di seluruh negara dan mengemaskini data ini setiap lima tahun. - Jumlah Penggunaan Institusi
Jumlah penggunaan institusi merupakan kuantiti bahan makanan mentah yang digunakan oleh pengusaha kedai makanan seperti restoran, gerai makan dan kantin di seluruh negara dalam masa satu tahun. Data penggunaan ini dikutip dan dikemaskini setiap tiga tahun. - Jumlah Penggunaan Kilang Pemproses Makanan
Jumlah penggunaan kilang pemproses makanan menunjukkan kuantiti bahan makanan mentah yang diguna oleh pengeluar makanan proses di seluruh negara dalam masa satu tahun. FAMA mengumpul dan mengemaskini data ini setiap tiga tahun. - Data Kemasukan Barangan Pertanian di Pintu Masuk Utama
Maklumat ini menunjukkan jumlah import barangan pertanian yang memasuki Malaysia dari pintu-pintu masuk utama negara seperti Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar di bahagian utara, Pengkalan Kubu dan Rantau Panjang di bahagian timur, Pelabuhan Kelang, serta Tambak Johor dan Second Link di selatan tanah air. Maklumat ini dikumpul secara on-line dengan kerjasama pihak Kastam. - Data Pengeluaran Sayur-Sayuran
Maklumat ini merupakan data yang dikutip oleh FAMA melalui kajian bekalan di seluruh negara. Antara data yang diperolehi ialah keluasan tanaman sayur-sayuran terpilih, profail petani dan anggaran pengeluaran bagi satu jangka masa tertentu - Data Pengeluaran Buah-Buahan
Maklumat ini merupakan data yang dikutip oleh FAMA melalui kajian bekalan di seluruh negara. Antara data yang diperolehi ialah keluasan tanaman buah-buahan terpilih, profail petani dan anggaran pengeluaran bagi satu jangka masa tertentu. Data ini dikutip sekali sebulan. - Data Pengeluaran Ternakan
Maklumat pengeluaran ternakan yang dikutip oleh FAMA meliputi ternakan lembu, kambing, ayam dan ikan air tawar di seluruh negara. Antara data yang diperolehi ialah bilangan ternakan, bilangan kolam, profail petani dan anggaran pengeluaran bagi satu jangka masa tertentu. Data ini dikutip sekali sebulan. - Data Harga Sayur-Sayuran, Buah-Buahan Dan Hasil Ternakan Terpilih
Maklumat harga ini meliputi harga ladang, borong dan runcit yang dikutip tiga kali seminggu di seluruh negara.Data ini telah mula dikumpul oleh FAMA sejak tahun 1972. Data harga dikutip di peringkat daerah dan negeri dan dimasukkan terus ke dalam sistem SDVI dan boleh diakses secara langsung daripada seluruh negara. Sistem ini dilengkapkan dengan ciri amaran awal yang menunjukkan: - Warna merah apabila harga sesuatu komoditi meningkat atau menurun lebih daripada 20% berbanding harga sebelumnya dan tindakan segera perlu diambil.
- Warna kuning apabila harga meningkat atau menurun di antara 10% hingga 19% dan perlu langkah berjaga-jaga.
- Warna hijau apabila harga berubah kurang daripada 10% menunjukkan pergerakan harga yang biasa.Data Harga Runcit Bagi Barangan Proses Terpilih
Maklumat harga barangan proses terpilih di peringkat runcit di pasaraya dikutip daripada seluruh negara sebanyak tiga kali setahun. Barangan proses yang diliputi adalah barangan proses terpilih. - Data Pergerakan Hasil Pertanian Di Pasar Borong Utama
Maklumat ini menunjukkan jumlah dan sumber sayur-sayuran, buah-buahan dan bahan makanan lain yang memasuki pasar-pasar borong utama di seluruh negara. Ia digunakan untuk mendapatkan saiz pasaran sesuatu komoditi di pasar borong dalam masa satu tahun bagi menganggar saiz permintaan pasaran domestik terhadap komoditi berkenaan di seluruh negara. Data ini dikutip sebanyak empat kali setahun DATA SEKUNDER (SECONDARY DATA) Data sekunder adalah maklumat yang dikutip dan disediakan daripada sumber-sumber lain. FAMA menjaga kesahihan maklumat sekunder yang digunakannya dengan memilih sumber-sumber yang berwibawa sahaja. Data sekunder yang dikutip oleh FAMA adalah seperti berikut: - Data Perdagangan Hasil Pertanian dan Bahan Makanan Luar Negara
Data ini menunjukkan perdagangan hasil pertanian dan makanan di pasaran luar negara. Kategori produk yang berkaitan dengan FAMA ialah bahan makanan untuk ternakan, bijirin dan sediaan bijirin, binatang hidup, buah-buahan, bunga-bungaan, daging dan sediaan daging, gula, sediaan gula dan madu, hasil tenusu dan telur burung,ikan hiasan, krustasea, moluska dan sediaan, kopi, koko, teh, rempah dan sayur-sayuran dan kategori bahan makanan lain. Data ini dibekalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Maklumat ini boleh didapati dengan menghubungi pegawai di Bahagian Perisikan Pasaran FAMA melalui surat,telefon atau faks. - Data Dan Laporan Potensi Pasaran Makanan Negara Terpilih
Data dan laporan ini menerangkan saiz pasaran masa lampau dan ramalan untuk beberapa jenis makanan segar dan produk proses bagi sepuluh negara terpilih, iaitu: Australia, Belanda, China, Jepun, Thailand, Amerika Syarikat,Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Makanan segar yang diliputi adalah ikan air tawar, buah-buahan, daging, kekacang, umbisi dan sayur-sayuran. Makanan proses yang diliputi adalah Manis–manisan dan kuih-muih, Produk Bakeri, Ais Krim, Produk Tenusu,Snek Manis dan Berempah, Snek Kepingan (Snack Bars, Produk Gantian Makanan, Makanan Sedia Untuk Dimakan, Sup,Pasta, Mee/Bihun, Makanan dalam Tin/Makanan yang diAwet, Produk Makanan Proses yang Dibeku, Makanan Proses Disejukkan, Minyak dan Lelemak, Sos, Hiasan dan Rempah Masakan, Makanan Bayi, dan Lepa dan Jem (Spreads). Data ini dilanggan oleh FAMA daripada majalah dagangan Euromonitor International Maklumat ini boleh didapati dengan menghubungi pegawai di Bahagian Perisikan Pasaran FAMA melalui surat,telefon atau faks. - Data Perdagangan Hasil Pertanian dan Bahan Makanan Dunia.
Data ini menunjukkan perdagangan beberapa jenis komoditi pertanian dan makanan di peringkat antarabangsa. Data ini dibekalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Maklumat ini boleh didapati dengan menghubungi Cawangan Risikan Pasaran FAMA . |