Untuk Pengguna Kurang Upaya, Pilih sebarang teks dan klik butang di bawah
PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR PEMASARAN DIPERINGKAT PERUNCITAN
1. PASAR TANI RUNCIT
Pengenalan
Pasar Tani Runcit ditubuhkan untuk mewujudkan luang pasaran bagi golongan petani atau pengeluar supaya mereka boleh memasarkan hasil keluaran mereka terus kepada pengguna. Pasar Tani juga bertindak sebagai medan pertemuan di antara pengeluar dengan pengguna dan telah menjadi institusi pemasaran yang penting dan popular di negara ini.
2. PASAR TANI KEKAL
Pasar Tani Kekal adalah satu projek pembangunan yang dijalankan bagi merebut peluang dari kepesatan perubahan dan kemajuan Pasar Tani Runcit. Peserta-peserta Pasar Tani Kekal ditempatkan di bawah satu bumbung dan mereka menjalankan perniagaan setiap hari. Kaedah ini akan meningkatkan kadar urusniaga dan akan mengurangkan masalah pemasaran hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan setiap hari. Pasar Tani Kekal akan mengekalkan strategi pemasaran Pasar Tani Runcit dengan memberi tumpuan kepada produk segar dan berkualiti yang dijual pada harga yang berpatutan. Matlamat FAMA adalah untuk menjadikan Pasar Tani Kekal sebagai pasar pilihan pada masa hadapan. Pembangunan Pasar Tani Kekal juga bertujuan melatih golongan pengeluar menjadi pemasar dan pembekal, selain daripada mengajar cara-cara mengurus perniagaan harian dengan lebih sistematik dan komersil. Pasar Tani Kekal memenuhi kehendak pasaran semasa kerana ia menyediakan tempat membeli-belah yang selesa serta menawarkan produk yang terjamin bersih dan selamat. Ia juga dirancang untuk menjadi pusat tarikan pelancong supaya dapat menyediakan luang pasaran yang lebih luas dan menarik.
3. DESARAYA
Projek Desaraya mula ditubuhkan pada tahun 1995 di bawah Rancangan Malaysia ke-7 dengan tujuan membangunkan peserta Pasar Tani Runcit yang telah berjaya. Pada ketika itu, pembangunan Pasar Tani mencapai kemuncaknya dengan bilangan 160 buah. Daripada tapak pertamanya di Kuala Kangsar, Perak, Desaraya kini berkembang kepada 14 buah yang bertempat di seluruh negara. Jumlah ini mampu menempatkan 62 orang peserta Pasar Tani dengan purata saiz pasaran sebanyak RM1 juta sebulan. Desaraya merupakan gabungan sekumpulan peserta Pasar Tani di sebuah premis perniagaan kekal untuk menyediakan berbagai barangan jualan seperti yang ditawarkan oleh kedai runcit atau pasar mini. Fungsi utama Desaraya ialah untuk memberi latihan dan pengalaman mengurus perniagaan runcit kepada peserta Pasar Tani, dengan tujuan untuk membentuk mereka sebagai usahawan.