Pasar Tani

PENGENALAN  

Pasar tani telah diperkenalkan pada tahun 1985 sebagai sebuah institusi pemasaran bagi tujuan membangunkan saluran pemasaran serta menggalakkan penyertaan usahawan tani memasarkan hasil-hasil pertanian mereka sendiri terus kepada pengguna. Ianya bercirikan mudah alih, bersuasana karnival dengan identiti yang tersendiri dan seragam. Pasar tani sebagai ‘Medan Pertemuan Pengeluar Pengguna’ berupaya membantu petani menerima harga yang munasabah dan menguntungkan manakala pengguna mendapat bekalan bermutu dengan harga yang berpatutan.

Pada masa ini pasar tani telah berkembang pesat seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara. Ianya kekal relevan sebagai pasar pilihan kepada pengguna dan menjadi oulet pemasaran yang berjaya serta turut menyumbang kepada kemajuan pembangunan ekonomi negara. Penubuhan pasar tani telah melahirkan ramai petani yang bersikap responsif serta mempercepatkan proses pembangunan sosio ekonomi masyarakat tani selaras dengan Dasar Agromakanan Negara.

LATAR BELAKANG

  1. Pasar tani pertama telah dibuka di Kompleks Bilik Sejuk FAMA Tampoi, Johor Bahru pada 31 Januari 1985
  2. Di awal penubuhannya pada tahun 1985 pasar tani hanya berjumlah 12 buah melibatkan 317 orang peserta dengan nilai jualan RM 1.4 juta setahun
  3. Sepanjang tempoh tersebut pasar tani telah melalui 4 fasa berikut ;
    1. Fasa Pengenalan (1985 – 1994)
    2. Fasa Pengukuhan (1995 – 2003)
    3. Fasa Pemodenan (2004 – 2010)
    4. Fasa Transformasi (2011 – 2020)
  4. Pasar tani telah berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan di mana secara purata seorang peserta menggaji satu hingga tiga orang pembantu.
  5. Sepanjang tempoh penubuhannya pasar tani telah mengalami evolusi seperti berikut;
    1. Pasar Tani Runcit
      Peserta terdiri daripada petani, penternak, nelayan dan pengeluar yang memasarkan sendiri hasil keluaran terus kepada pengguna. Bercirikan mudah alih dan bersuasana karnival. Beroperasi satu atau dua kali seminggu dengan masa urusniaga yang singkat di antara 4 – 6 jam sehari
       
    2. Pasar Tani Harian
      Peserta terdiri daripada pelbagai golongan petani dan usahawan pemasar tani yang berselerak dan tidak mempunyai tapak perniagaan yang tetap. Berkonsepkan gabungan penyertaan di bawah satu bumbung dengan infrastruktur sementara atau separa kekal. Urusniaga secara pukal dan runcit yang beroperasi pada setiap hari
       
    3. Pasar Tani Mega
      Ciri-ciri perniagaan sama seperti Pasar Tani Runcit dengan penglibatan lebih ramai peserta dan petak perniagaan lebih banyak. Bilangan peserta melebihi 70 orang dan petak perniagaan melebihi 100 lot. Peragaan barangan jualan lebih kemas dan menarik. Ruang perniagaan lebih luas dengan kemudahan awam yang lebih selesa dan persekitaran yang ceria
       
    4. Pasar Tani Borong
      Kemudahan pemasaran kepada peserta pasar tani yang mempunyai bekalan dalam kuantiti besar untuk diurusniagakan secara borong. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan di bangunan kekal, ruang niaga lebih luas, kemudahan bilik sejuk, parkir kereta, pejabat informasi, surau, tandas serta kemudahan bekalan utiliti air, letrik dan talian telefon
       
    5. Pasar Tani Desaraya
      Sebuah outlet pemasaran ala mini market. Beroperasi di premis rumah kedai yang dimiliki atau disewa oleh usahawan dan dibangunkan oleh FAMA dengan imej menarik, kemas, tersusun serta seragam seluruh negara. Gabungan 3 hingga 5 orang peserta pasar tani yang menjalankan perniagaan berlainan komoditi secara runcit dan borong pada setiap hari
       
    6. Pasar Tani Kekal
      Sebuah outlet pemasaran moden, berstruktur kekal, mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan beroperasi ada setiap hari. Peserta terdiri daripada usahawan Pasar Tani Runcit yang di naik taraf.
       
    7. Pasar Tani Karavan
      Konsep baru transformasi perkhidmatan permasaran bertujuan memodenkan outlet peruncitan secara bergerak dalam memasarkan hasil pertanian dan produk makanan. Ianya menampilkan imej trak yang seragam dan peragaan produk yang lebih bersih, kemas dan teratur.
Pages: 1  2  3