Program Keusahawanan Pasar Tani Program Keusahawanan Pasar Tani

PASAR TANI MEGA

Pengenalan
 
Pasar Tani Mega merupakan peningkatan konsep Pasar Tani Runcit dari segi peralatan dan susun atur tapak jualan.

Antara perbezaan yang dibuat adalah penggunaan rak-rak bertingkat bagi penjualan buah, sayur dan barangan proses, dan meja besi keluli (stainless steel) untuk penjualan barangan basah seperti ikan, ayam dan daging. Ini lebih kemas dan menarik berbanding dengan penggunaan meja papan lapis dengan kaki besi berlipat di Pasar Tani Runcit. Kanopi mudah-alih bersaiz seragam sebesar 10 kaki x 10 kaki pula menggantikan payung empat segi yang biasa digunakan di Pasar Tani Runcit. Hasilnya, Pasar Tani Mega bukan sahaja menampilkan imej yang lebih kemas dan menarik, bahkan lebih bersih, selesa, ceria dan mesra-pelanggan berbanding dengan Pasar Tani Runcit.

Saluran pasaran yang unik ini juga dibentuk supaya menjadi mercu tanda agro-pelancongan yang penting dan berupaya menarik tumpuan pelancong serta pelanggan yang lebih sofistikated.
 
Apa Itu Pasar Tani Mega
 
Pasar Tani Mega adalah merupakan satu lambang kejayaan milik bersama usahawan tani yang terdiri daripada peserta Pasar Tani, petani atau pengeluar, penternak dan nelayan. Dengan mengekalkan ciri-ciri kemesraan dan bersuasana karnival, Pasar Tani Mega mempamerkan peragaan barangan jualan yang lebih kemas dan menarik serta menyediakan ruang perniagaan yang lebih luas, kemudahan awam yang lebih selesa dan persekitaran yang ceria. Pasar Tani Mega pertama dilancarkan pada 19 September 2004 di Shah Alam Selangor.
 
Tujuan
  • Meningkatkan imej pasar tani kepada imej baru yang lebih elegan, kemas dan bersih yang mampu mewujudkan satu lagi mercu tanda agro-pelancongan kebanggaan pengeluar.
  • Menyediakan tempat yang lebih selesa dan menarik kepada pengeluar untuk memasarkan terus hasil keluaran mereka kepada pengguna.
  • Mewujudkan satu institusi tetap pembangunan keusahawanan tani bagi melahirkan lebih ramai pengeluar-pemasar dan pengeluar-usahawan.
Skop Perkhidmatan FAMA
  • Penyediaan peluang perniagaan dalam bidang peruncitan
  • Khidmat nasihat
    • kursus
    • direktori perniagaan
    • pemadanan perniagaan
    • maklumat pasaran
    • program mentor-mentee (business matching)
  • Pembayaran secara mudah bagi pembelian peralatan seperti payung, kanopi, bakul, meja, alas meja dan pakaian seragam.
  • Khidmat urusetia
    • pendaftaran peserta
    • maklumat harga panduan
    • pengesahan berat barangan yang dibeli (dengan kerjasama Jabatan Timbang dan Sukat)
    • kutipan yuran
    • susun atur dan persembahan produk
    • pengesahan alat timbang
    • promosi produk baru
    • kebersihan
Kumpulan Sasaran
  • Semua pengeluar produk hasil pertanian (proses dan segar)
Kelayakan
  • Kelayakan: 18 tahun - 60 Tahun
  • Permit: memiliki permit sah daripada FAMA
  • Bayaran Tapak: Pemilik tapak dikehendaki membayar sebelum perniagaan mula
  • Barang Jualan: Menjual hasil- hasil pertanian/ barang sendiri atau mendapat bekalan daripada FAMA
  • Peniaga Makanan: Perlu hadir kursus pengendalian makanan & suntikan demam kepialu (typhoid)
  • Pertukaran Permit: Peserta hanya boleh mewariskan permit perniagaan kepada waris yang sah sahaja dengan kelulusan pihak FAMA
 

Pages: 1  2  

08 Disember 2017 11:02 AM