pasar tani kekal (PTK)

PENGENALAN
Pasar Tani Kekal (PTK) dibangunkan bertujuan untuk menambah bilangan outlet pasaran kekal dan menaik taraf infrastruktur pemasaran sedia ada. Melalui transformasi ini, akan memberi manfaat kepada usahawan dan pengunjung. Bilangan usahawan juga dapat ditingkatkan dengan kaedah menambah dan mewujudkan waktu operasi perniagaan yang baharu. Di samping itu, pendapatan mereka juga akan meningkat menerusi program galakan pengunjung. Pengunjung pula akan berasa lebih selesa untuk membeli belah.

OBJEKTIF
Menerusi pelaksanaan Projek Pasar Tani Kekal (PTK), pemodenan kaedah niaga di kalangan penjaja kecil dapat ditambah baik di bawah satu bumbung. Ia meliputi aspek seperti penyediaan premis serta kemudahan yang lebih tersusun dan bersih.  Pasar berimej baru ini dapat memberi keselesaan kepada pengunjung di samping dapat meningkatkan pendapatan usahawan dan penjaja sedia ada.

KONSEP
Dari aspek teknikal, Pasar Tani Kekal adalah sebuah kompleks kekal dengan infrastruktur kemudahan asas yang moden dan hygenic yang menempatkan penjaja-penjaja kecil yang berdaftar seperti penjaja Pasar Malam, Pasar Minggu, Pasar Lambak, Pasar Sehari, Pasar Tani, Pasar Tamu, Pasar “Up-Town” dan lain-lain yang sepertinya untuk menjalankan urusniaga di bawah satu bumbung dengan penggunaan peralatan peragaan jualan serta pakaian yang seragam. Konsep utama urusniaga Pasar Tani Kekal adalah:

  • Lot kekal/tetap
    • Penjaja berniaga setiap hari di lot kekal dan dibenarkan untuk meninggalkan peralatan dan produk niaga setelah tamat waktu operasi.
  • Konsep “Bayar-Guna-Serah Semula” (BGSS), di mana penjaja perlu membayar bagi penggunaan tapak lot niaga yang disediakan kepada mereka mengikut sesi, waktu niaga, kadar bayaran dan hari yang ditetapkan/dijadualkan dan menyerahkan semula tapak yang diduduki dalam keadaan asal sebaik sahaja tamat tempoh niaga tanpa meninggalkan sebarang peralatan urusniaga di lot-lot niaga tersebut kecuali dengan kebenaran pihak FAMA. Ini adalah bagi membolehkan sesi penjaja lain yang berdaftar beroperasi di lot-lot niaga yang telah diserah semula dalam keadaan asal selepas melalui tempoh pembersihan yang dilakukan oleh pengurusan Kompleks Pasar Tani Kekal.
  • Di samping itu juga, Pasar Tani Kekal boleh digunakan oleh masyarakat setempat bagi mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti majlis kenduri kahwin, majlis-majlis perasmian dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian yang dibenarkan berdasarkan kepada kelulusan dan kebenaran pihak FAMA.
  • Konsep yang diterapkan ini adalah selaras dengan matlamat bagi menjamin kebersihan dan keselesaan Pasar Tani Kekal sebagai “Hak Milik Bersama Komuniti Setempat” dan tiada sebarang hak pemilikan individu secara kekal di atas lot-lot niaga yang disediakan kecuali dengan kebenaran dan kelulusan rasmi.