Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR)

LATAR BELAKANG

Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang merangkumi 12 NKEA dan 6 Inisiatif Pembangunan Strategik (SRI) adalah merupakan usaha bersepadu komprehensif Kerajaan mentransformasikan Malaysia ke arah Negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Melalui projek - projek "Entry Point Projects" (EPP) di bawah NKEA, sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita dari RM23,700 (2009) kepada RM48,000 (2020) dengan pengwujudan 9360 peluang pekerjaan. Projek Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) adalah merupakan salah satu daripada projek EPP tersebut.

Di awal perancangan projek PAKAR adalah merupakan EPP 2 di bawah NKEA 7 Pemborongan dan Peruncitan yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Mulai 28hb Mac 2012, projek PAKAR telah dipindahkan ke NKEA 11. Pertanian sebagai EPP 17 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan FAMA kekal sebagai agensi Pelaksana.

 

TUJUAN PELAKSANAAN PROJEK

Pasar Komuniti dan Karavan atau PAKAR merupakan “Entry Point Projects (EPP)” yang bertujuan untuk memodenkan pelaksanaan “Pasar” di bawah satu konsep melalui:

  • Pemodenan kaedah niaga penjaja-penjaja di bawah satu bumbung di lokasi yang kekal mengikut kluster dan waktu niaga yang ditetapkan.
  • Penawaran pengalaman membeli-belah dalam konsep moden dan bersih dengan jaminan keselesaan kepada peniaga, penjaja dan pengguna dalam aspek penyediaan premis dan kemudahan asas yang lebih teratur, kemas, selesa dan bersih dengan imej baru.
  • Penyediaan platform/infrastruktur sebagai tapak untuk kegiatan/aktiviti komuniti.
  • Usaha menggalakkan penjaja berniaga dengan konsep peragaan dan pakaian yang seragam agar lebih tersusun, kemas, bersih dan menarik.
  • Usaha menggalakkan penggunaan kenderaan niaga dengan reka bentuk khas (karavan/unit bergerak) yang lebih menarik dan bersih.
  • Menyediakan peluang pekerjaan tambahan serta meningkatkan tahap keusahawanan dan pendapatan kumpulan sasaran terlibat.
  • Memelihara kesinambungan warisan pasar-pasar penjaja dengan menyerapkan konsep transformasi moden kearah Negara maju menjelang 2020.

 

KEISTIMEWAAN PAKAR

  • TRANSFORMASI KE ARAH KONSEP LEBIH MODEN
    Menjelang 2020, 57% rakyat Malaysia adalah golongan belia yang mempunyai gaya hidup berbeza, akan memilih premis yang lebih selesa, tersusun & kemudahan asas yang baik
     
  • LOKASI PENJAJAAN TETAP
    Mengurangkan lokasi yang berselerak, masalah trafik dan tahap kebersihan.
     
  • LUANG PASARAN ALTERNATIF
    Menambah luang pasaran, pekerjaan dan pendapatan.
     
  • HAK MILIK KOMUNITI
    Kemudahan bagi kegunaan dan faedah untuk komuniti. Konsep “Bayar Guna Serah Semula” menjamin tiada pemilikan hak secara individu ke atas lot-lot niaga yang disediakan.
     
  • PENYERTAAN HANYA UNTUK WARGANEGARA
    Jaminan peluang pekerjaan hanya untuk warganegara dan atatus warganegara menjadi syarat utama penyertaan peserta.

 

KONSEP PENGOPERASIAN PAKAR

Konsep utama operasi PAKAR adalah “Bayar Guna Serah Semula” (BGSS), dimana penjaja perlu membayar bagi penggunaan tapak lot niaga yang disediakan kepada mereka mengikut kluster, waktu niaga, kadar bayaran dan hari yang ditetapkan/dijadualkan dan menyerahkan semula tapak yang diduduki dalam keadaan asala sebaik sahaja tamat tempoh niaga (tanpa meninggalkan sebarang perlatan urusniaga) bagi membolehkan operasi pembersihan dijalankan sebelum digunakan oleh kluster penjaja yang lain.

Setiap peserta yang diterima untuk menjadi peserta wajib menggunakan set peralatan dan pakaian yang seragam yang dibeli oleh pihak FAMA. PAKAR juga boleh digunakan secara sewaan oleh masyarakat setempat bagi mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti majlis kenduri kahwin, majlis-majlis perasmian dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian yang dibenarkan. Konsep yang diterapkan ini adalah selaras dengan matlamat menjamin kebersihan dan keselasaan PAKAR sebagai “Hak Milik Bersama Komuniti Setempat”.

Pages: 1  2  3