Myfarm Outlet

PENGENALAN 

  1. Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani berperanan untuk meringankan kos sara hidup rakyat disamping memperluaskan saiz pasaran produk agromakanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar.
  2. Kementerian juga berperanan bagi memastikan produk-produk pertanian dan industri asas tani tersedia, boleh diperolehi, pada harga yang menjimatkan dan mampu dibayar oleh pengguna
  3. Lanjutan dari pengumuman oleh YAB Perdana Menteri dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari 2016 di PICC, Putrajaya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah diberi tanggunggungjawab untuk menyediakan sebuah premis kekal yang menjadi pusat jualan produk segar pada harga menjimatkan dan beroperasi setiap hari.  Susulan itu, Kementerian menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil initiatif bagi membangunkan 'MyFarm Outlet' untuk memenuhi keperluan pengguna bagi mendapatkan pilihan bekalan hasil pertanian yang berkualiti pada harga yang lebih menjimatkan.
  4. Program ini adalah kesinambungan dari program-program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA) bersama Jabatan dan Agensi yang berkaitan dalam menangani kenaikan kos sara hidup. 
  5. 'MyFarm Outlet' pertama telah dibangunkan di Presint 7, Putrajaya sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari 2016 dan dilancar pada bulan Mac 2016 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
  6. Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat Bil.1/2016 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah bersetuju supaya MyFarm Outlet diperluaskan ke 222 kawasan Parlimen dan seterusnya dibangunkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Saiz dan skala MyFarm Outlet adalah berbeza mengikut lokasi di mana lokasi-lokasi di kawasan luar bandar dan pedalaman akan dibangunkan pada skala yang lebih kecil;
  7. Mesyuarat juga bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyelaras pelaksananaan MyFarm Outlet di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Rural Transformation Centre (RTC) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan;
  8. Pelaksanaan MyFarm Outlet di kawasan luar bandar dan pedalaman akan melibatkan kerjasama dan integrasi antara beberapa pihak termasuk kementerian-kementerian yang berkaitan, serta komuniti setempat. Melalui integrasi ini, MyFarm Outlet akan membekalkan hasil pertanian kepada koperasi untuk dijual di pusat yang akan dibangunkan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
  9. Walau bagaimanapun, pelaksanaan program MyFarm Outlet di sesuatu kawasan luar bandar dan pedalaman wajar mengambil kira pelbagai faktor antara lain, sama ada kawasan tersebut mampu memberi jumlah jualan yang tinggi bagi mengimbangi margin keuntungan yang diambil peniaga program tersebut dan sekali gus membolehkan pengguna menikmati harga jualan barangan yang lebih rendah;
  10. Pelaksanaan MyFarm Outlet adalah disyorkan dibangunkan di kawasan bandar atau pinggiran bandar kerana dilihat lebih praktikal dan ekonomik berbanding di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ini kerana walaupun peniaga MyFarm Outlet di kawasan bandar atau pinggiran bandar mengenakan margin keuntungan yang kecil ke atas setiap jualan hasil pertanian dan barangan bagi menjamin harga yang rendah, mereka masih mampu menjana keuntungan mengambil kira jumlah (volume) permintaan yang tinggi bukan sahaja di kalangan penduduk yang ramai malah peniaga serta pengusaha lain termasuk restoran dan sebagainya. 

OBJEKTIF

  1. Sebagai salah satu saluran pasaran pilihan bagi pengguna mendapatkan bekalan keperluan harian dengan harga menjimatkan.
  2. Menyedia dan menawarkan harga komoditi barangan terpilih pada harga yang berpatutan dengan penjimatan 5 – 20 % daripada harga di pasar awam.
  3. Untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Pages: 1  2