Latar Belakang

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Federal Agricultural Marketing Authority atau FAMA) yang ditubuhkan dibawah Akta 141 merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. FAMA bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur–sayuran, buah–buahan dan bunga-bungaan serta produk–produk industri asas tani.
 
Bagi memacu sektor pemasaran domestik dan antarabangsa, FAMA berperanan dalam pemasaran hasil produk agromakanan untuk memperluaskan saiz pasaran produk agromakanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar. FAMA juga berperanan dalam memastikan produk pertanian dan industri asas tani tersedia dan boleh diperolehi pada harga yang mampu dibayar oleh pengguna. Bagi melaksanakan peranan ini, FAMA telah dan sedang menggiatkan usaha–usaha meningkatkan kecekapan di sepanjang rantaian pemasaran dengan memberi fokus kepada perkara–perkara berikut:
 
i. Memperkukuhkan bekalan melalui Program Ladang Kontrak;
ii. Memperluaskan akses pasaran; dan
iii. Meningkatkan promosi pasaran tempatan dan eksport.