agropreneur muda

PERLAKSANAAN

Permohonan
Individu yang layak perlu membuat permohonan di Pejabat Jabatan/Agensi Daerah di bawah MAFI atau Negeri (bagi agensi yang tidak mempunyai pejabat di daerah), MAFI (Negeri Sabah) atau MANRED (Negeri Sarawak) yang terdekat dengan melengkapkan dokumen-dokumen berikut:

  • Borang UAM 01/14 (pin.02/18) berserta salinan kad pengenalan yang disahkan pegawai Jabatan / Agensi dan gambar berukuran pasport;
  • Kertas Rancangan Perniagaan yang lengkap (rujuk Lampiran 1);
  • Senarai cadangan barangan yang dinyatakan pada Borang UAM 01/14 (pin.02/18) perlu disertakan anggaran Sebut Harga;
  • Menyertakan salinan Sijil/Diploma/Ijazah yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atau Institut Latihan dibawah MAFI; atau
  • Borang permohonan pembiayaan Agrobank atau TEKUN Nasional (bagi permohonan kategori Pembiayaan).

 
Kelulusan atau Penolakan

  • Permohonan Geran berserta dokumen-dokumen yang lengkap dari Jabatan/Agensi Ibu Pejabat akan dikemukakan kepada pihak UAM, MAFI untuk kelulusan atau penolakan sesuatu permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Geran & Pembiayaan Program Agropreneur Muda dan Mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Program Agropreneur Muda;
  • Dokumen Tawaran Kelulusan berserta Surat Aku Janji serta Borang Penilaian Sebutharga Pembekalan akan dikemukakan kepada pemohon yang berjaya melalui Jabatan/Agensi; 
  • Bagi permohonan pembiayaan, dokumen-dokumen yang lengkap daripada TEKUN/Agrobank Peringkat Cawangan akan dikemukakan kepada pihak TEKUN/Agrobank Peringkat Ibu Pejabat untuk kelulusan atau penolakan sesuatu permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan Agensi Pembiaya;
  • Hanya peserta yang lulus sahaja akan dihubungi dan diberi Surat Kelulusan melalui Jabatan/Agensi pembimbing yang berkaitan.

Pelaksanaan Geran & Pembiayaan

  • Bagi Pakej Geran, Surat Aku Janji – Borang UAM 2/18 dan Borang Penilaian Sebutharga Pembekalan – Borang UAM 06/17 (pin. 1/18) hendaklah dikembalikan dalam tempoh sah laku berserta tiga (3) sebutharga yang lengkap (SSM/MOF) yang disahkan oleh Jabatan/Agensi Daerah/Negeri. Bagi syarikat yang mengenakan cukai, Surat Pendaftaran SST perlu dilampirkan bersama dan disahkan oleh jabatan/agensi.
  • Setelah permohonan diluluskan, Jabatan/Agensi peringkat daerah bertanggungjawab menguruskan bantuan kepada pemohon Geran yang akan diselaraskan oleh Jabatan/Agensi Ibu Pejabat masing-masing.
  • Manakala untuk perolehan Geran, peruntukan akan disalurkan kepada pembekal secara terus berkaitan projek yang diluluskan melalui agensi pembayar iaitu Agrobank.
  • Program khidmat nasihat dan latihan akan diselaraskan di peringkat Negeri mengikut jadual berkala sedia ada yang telah diatur oleh Jabatan/Agensi di sepanjang tahun.
  • Bagi Pakej Pembiayaan untuk pengembangan projek pertanian yang telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dengan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan daripada TEKUN/Agrobank mengikut prosedur yang ditetapkan seperti berikut :
  • Pengeluaran wang adalah secara berperingkat mengikut kemajuan projek dan perlulah disokong berdasarkan dokumen yang sah;
  • Jumlah pembiayaan yang diluluskan akan disalurkan ke akaun pelanggan bagi pembiayaan di bawah TEKUN. Manakala bagi pembiayaan di bawah Agrobank, bayaran bagi pembekalan akan disalurkan ke akaun pembekal;
  • Pembiayaan Semula (TEKUN) atau Pembiayaan Tambahan (AGROBANK) adalah dibenarkan untuk kali kedua hanya kepada satu projek yang sama dengan syarat bayaran pembiayaan terdahulu mempunyai rekod bayaran yang baik bagi tempoh dua belas (12) bulan;
  • Tempoh penangguhan bayaran (Grace Period) bagi projek sehingga dua belas (12) bulan dari tarikh pertama pengeluaran berjaya dilakukan; dan
  • Pelaksanaan pembiayaan adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang ditetapkan oleh Agrobank dan TEKUN Nasional.