Agrobazaar Kedai Rakyat

PROJEK  AGRO BAZAAR KEDAI RAKYAT (AKR)
PENGENALAN 

Pewujudan projek Agro Bazaar Kedai Rakyat adalah cadangan Y.A.Bhg. Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi mantan Perdana Menteri Malaysia berikutan timbulnya isu kenaikan harga barangan asas akibat kenaikan harga minyak yang membebankan kehidupan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. 

Mesyuarat Menteri–Menteri Besar Bil. 105, Pada 20 Julai 2008, telah memutuskan supaya ICU JPM diberi peranan sebagai penyelaras projek Agro Bazaar Kedai Rakyat, manakala FAMA sebagai agensi pelaksana.

Matlamat penubuhan Agro Bazaar Kedai Rakyat adalah sebagai tempat mengumpul, membeli dan menjual hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani kecil dan masyarakat kampung di samping menjual barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan.


DEFINISI

Agro Bazaar Kedai Rakyat adalah premis perniagaan runcit milik usahawan sedia ada yang dinaiktaraf bagi menjalankan perniagaan menjual hasil-hasil pertanian keluaran masyarakat kampung dan barangan keperluan harian dengan menawarkan harga berpatutan, menampilkan imej yang menarik, tersusun, kemas dan seragam di seluruh negara.


OBJEKTIF AGRO BAZAAR KEDAI RAKYAT

  • Sebagai agen bagi mengumpul, membeli dan menjual hasil-hasil pertanian keluaran petani kecil / masyarakat kampung
  • Sebagai salah satu mekanisma bagi membantu masyarakat setempat menambahkan pendapatan 
  • Memudahkan masyarakat setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan asas dan produk pertanian pada harga berpatutan.
  • Menggalakkan aktiviti urusniaga hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani dan masyarakat setempat
  • Menyediakan outlet pemasaran alternatif yang bersifat kekal di lokasi strategik


INSETIF PROJEK AKR

Insentif bantuan naiktaraf premis runcit di bawah projek AgroBazaar Kedai rakyat adalah seperti berikiut;

  • Kerja-kerja naik taraf premis sedia ada usahawan melibatkan kerja-kerja mengecat dalam dan luar premis, pemasanagan papan tanda AKR dan pemasangan papan tunjuk arah
  • Pinjaman peralatan peragaan yang bersesuaian seperti Gondola (Island, Wall, End), palet, rak bertingkat untuk sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Pemasangan bahan-bahan promosi yang bersesuaian seperti banting, flagline 
  • Kursus Keusahawanan peruncitan melibatkan pengurusan susun atur premis dan asas simpan kira

 

PENCAPAIAN

  • Bagi tempoh 2009-2017, bilangan AKR terkumpul yang telah dibangunkan di seluruh negara adalah sebanyak 367 buah dengan janaan nilai jualan tahunan sebanyak RM 256 juta
  • Projek ini telah memberi impak langsung kepada peningkatan nilai jualan dan pendapatan usahawan peserta di samping meningkatkan akses langsung luang pasaran petani kecil dan masyarakat kampung setempat

 

SYARAT - SYARAT PENYERTAAN

Syarat-syarat penyertaan di bawah projek Agro Bazaar Kedai Rakyat adalah seperti berikut :-

  • Usahawan mestilah warganegara Malaysia berumur tidak kurang 20 tahun dan tidak melebihi 60 tahun semasa mengemukakan permohonan
  • Pemohon telah mengusahakan perniagaan runcit dan menjalankan aktiviti membeli serta menjual hasil-hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman jangka pendek, hasilan ternakan/Aqua, hasil kampung sekurang-kurangnya setahun.
  • Pemohon mestilah menjalankan urusniaga barang-barang kawalan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung.
     
  • Mempunyai lesen perniagaan yang sah di sisi undang-undang :-
     
    • Sijil Pendaftaran Syarikat - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kecuali untuk pemohon Negeri Sabah & Sarawak
    • Lesen Runcit Barang Kawalan – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)
    • Lesen Runcit Beras - Bahagian Kawal Selia Padi & Beras, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani
    • Lesen Perniagaan -  Pihak Berkuasa Tempatan (jika perlu)
 
  • Mempunyai premis perniagaan sendiri atau disewa sekurang-kurangnya bagi tempoh 1 tahun semasa tarikh permohonan. Salinan dokumen penyewaan premis wajib disertakan bersama borang permohonan.
  • Memiliki modal pusingan yang mencukupi dengan rekod jualan yang baik sekurang-kurangnya RM 20,000.00 pada setiap bulan untuk pemohon dari Semenanjung Malaysia dan RM 18,000.00 untuk Sabah dan Sarawak.
  • Bekerjasama dengan FAMA dan mematuhi peraturan yang ditentukan oleh FAMA.
  • Usahawan mestilah bersedia menerima barangan keperluan yang dibekalkan oleh FAMA merangkumi produk segar, barangan kawalan, barangan  Agromas dan menjualnya pada harga yang telah ditetapkan.
  • Wajib mengikuti kursus Keusahawanan Peruncitan yang dianjurkan oleh FAMA
  • Usahawan bersetuju mengubahsuai premis sedia ada berdasarkan pelan dan susun atur peragaan barangan jualan mengikut konsep Agro Bazaar Kedai Rakyat.

 

CARA - CARA MEMOHON

Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan Agro Bazaar Kedai Rakyat dan mengemukakan permohonan kepada Pejabat FAMA Negeri atau Daerah yang berhampiran. Borang permohonan boleh diperolehi dari Pejabat FAMA Negeri atau Daerah atau dimuat turun dari laman web FAMA di www.fama.gov.my